RAMAI yang tertekan serta menderita apabila mengalami peristiwa atau musibah seperti kerosakan harta benda, kehilangan atau kegagalan dalam kerjaya, percintaan atau rumah tangga dan sebagainya.
Musibah atau tekanan adalah satu peristiwa yang ditakuti dan tidak dikehendaki oleh mana-mana individu di dalam kehidupan seharian.
Majoriti daripada kita akan bertindak-balas secara spontan sama ada mengeluh, memaki-hamun dan marah terhadap seseorang malah ada pula yang marah kepada takdir Tuhan.
Individu yang terbabit dengan musibah mengalami gejala-gejala tekanan seperti bimbang, hilang tumpuan, cepat marah, tidak dapat tidur, hilang selera makan dan lain-lain lagi.
Berdasarkan personaliti serta cara seseorang menangani sesuatu tekanan, ada yang merasakan kehidupannya sudah tidak bererti, menjadi panik dan merasakan yang dunia ini kejam terhadapnya.
Situasi ini akan lebih menyakitkan apabila ada pula insan sekeliling yang memberi ulasan-ulasan negatif.
Sering dikatakan musibah didatangkan sebagai hukuman atau peringatan daripada Allah SWT tetapi hakikat dan tujuan yang sebenar, hanya Allah yang maha mengetahui.
Bolehkah kita mentakrifkan apa yang ditentukan Allah SWT mungkin benar atau sebaliknya?
Lupakah kita ujian-ujian yang dilalui oleh para sahabat Rasulullah dan para nabi jauh lebih hebat dan apakah mereka ini melakukan banyak kesalahan serta kita lebih baik daripada mereka?
Tetapi sebagai seorang Islam, kenapa kita tidak melihat dan pelajari akan apa yang difirmankan Allah SWT di dalam al-Quran serta sunah Rasulullah melalui hadisnya.
Allah SWT menegaskan dalam surah al-Baqarah ayat 286, bahawa Dia tidak memberatkan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.
Ini bermakna setiap individu yang mengalami musibah tersebut akan mampu mengatasinya .
Kerap seseorang individu menjadi kecewa, marah dan susah hati apabila sesuatu hajat yang diingini tidak berjaya atau sesuatu perkara lain pula yang berlaku.
Mereka lupa akan firman Allah SWT; ”Adakalanya sesuatu itu tidak baik bagimu meskipun kamu begitu menghendakinya dan adakala pula sesuatu itu baik bagimu meskipun kamu tidak menyukainya, sesungguhnya aku mengetahui tetapi kamu tidak mengetahuinya”.
Kita terlalu mengharapkan keseronokan, kemudahan serta kenikmatan dunia, sudah tentu ia tidak salah kerana itu adalah sifat naluri seseorang manusia.
Allah SWT juga menyuruh kita berbuat demikian seperti firmannya; “Dan hendaklah kamu mencari kebaikan akhirat dan jangan lupa habuan kamu di dunia.”
Masalahnya, ramai di antara kita tidak mempedulikan janji Allah SWT tentang kehidupan akhirat yang mana ia adalah kehidupan yang kekal sebenarnya dan lebih baik.
Jika kita benar bertakwa dan yakin, majoriti daripada tekanan yang kita alami tidak memerlukan kita bersedih dan merasa kecewa yang melampau bahkan dapat melihatnya secara lebih positif.
Pun begitu, janganlah ada antara kita beranggapan kita tidak memerlukan rawatan dan ubat-ubatan bahkan menasihati ahli keluarga atau rakan yang mengalami tekanan untuk tidak mendapatkan rawatan memadai hanya dengan reda.
Ramai antara kita yang tersalah faham mengenai konsep reda dalam Islam. Reda pada Islam bukan bererti menyerah bulat-bulat kepada takdir tanpa disusuli dengan usaha dan ikhtiar.
Sikap terbuka
Ubat-ubatan dan kaunseling akan melengkapkan proses pemulihan emosi seseorang individu.
Dapatkan nasihat daripada mereka yang mempunyai pengalaman mengatasi masalah tersebut, berkongsilah masalah anda dengan saudara-mara atau rakan karib atau mana-mana individu yang anda percaya dapat membantu.
Cubalah amalkan mengambil sikap terbuka dan fikirlah secara positif dan objektif dalam usaha menyelesaikan sesuatu kesulitan.
Bermula sekarang, kita harus mengambil pendekatan tidak mengeluh bahkan banyakkanlah menyebut Allahuakbar, Subhanallah, Astaghfirullah berulang-kali kerana jika kita mengeluh, memaki hamun contohnya apabila terpijak paku, kita meneriak celaka sambil memaki hamun, percayalah kita akan lebih merasa sakit.
Tetapi jika kita ingat dan yakin akan apa yang diberitahu Allah SWT dan ajaran Rasulullah, kita akan merasa kurang sakit, reda serta mendapat limpahan keampunan dan rahmat Allah SWT. Kita hendaklah bersabar dan banyak berdoa serta dapatkan rawatan dan pertolongan supaya kita beroleh kejayaan, di dunia apalagi di akhirat.
sumber utusan