15 November 2010

Penjagaan pokok mangga

TANAMAN mangga boleh dikategorikan kepada buah-buahan yang bermusim dan banyak ditanam di Negeri Kedah, Perlis, Perak dan Melaka.

Kebiasaannya, terdapat dua musim bagi pokok mangga iaitu musim utama pada bulan April, Mei, Jun dan musim kedua iaitu bulan September, Oktober dan November.

Nama saintifik bagi mangga ialah Mangifera indica Linn yang tergolong dalam famili Anacardiaceae.

Selain itu, buah mangga juga di kenali sebagai buah mempelam di Negeri Kedah , buah asam pula di Johor dan buah pauh di Kelantan.

Pokok mangga mula mengeluarkan buah pada tahun pertama hingga tahun kelima selepas ditanam, ia juga bergantung kepada jenis klon yang ditanam.

Tempoh buah mangga boleh dipetik adalah di antara 110 hingga 150 hari selepas pendebungaan bergantung kepada klon yang tertentu.

Bagi kematangan buah mangga, ia boleh dilihat pada perubahan warna yang ketara dari warna hijau ke hijau kekuningan bergantung kepada klon.

Jarak tanaman yang sesuai bagi pokok mangga ialah 7 m x 7 m atau 9 m x 9 m dengan sistem segi empat sama. Klon buah mangga yang ditanam di ladang UPM ialah MA 224 ( Chok Anan ), MA 223 (Nam Dok Mai ), MA 194 ( Apple), MA 128 ( Harumanis ) dan banyak lagi.

Kebiasaannya buah mangga dimakan segar dan boleh juga dijadikan produk seperti jus, jeruk, halwa dan lain-lain. Buah mangga sangat berkhasiat, manis, enak dan mengandungi Vitamin A, C, B2 dan B3.

utusan malaysia


No comments:

Post a Comment