KUALA LUMPUR 2 Feb. - Rangka Kerja Kolaborasi Komprehensif (CCF) di antara Malaysian Airline System Bhd. (MAS) dijangka menampakkan hasil yang menarik dalam tempoh enam bulan akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd. (AirAsia), Tan Sri Tony Fernandes, bagaimanapun hanya membayangkan hasil yang dimaksudkan itu sebagai perubahan dalam industri penerbangan negara.
''Memang ramai yang memberi perspektif negatif tetapi percayalah MAS akan kembali berjaya dan AirAsia turut mendapat faedahnya.
''Apa yang lebih penting kerjasama ini akan menjadikan MAS dan AirAsia sebagai entiti berkuasa dalam industri ini.
''Malah, Malaysia akan muncul sebagai hab penerbangan di Asia,'' katanya selepas majlis menyambut pesawat Airbus A320 di Terminal Tambang Murah di sini hari ini.
Mengulas tentang tindakan Australia terhadap AirAsia X, Fernandes berkata, dakwaan itu sedikit pun tidak menjejaskan jualan dan prestasi syarikat penerbangan itu.
Sebaliknya, beliau masih mempertahan bahawa masalah teknikal yang menjadi punca salah faham sehingga AirAsia X diheret ke mahkamah.
''Ini adalah isu kecil sahaja dan ia disebabkan oleh masalah teknikal oleh kakitangan IT kami yang terlupa untuk memasukkan empat laluan dalam senarai.
''Masalah ini tidak menjejaskan laluan dan kekerapan kami ke Australia, sebaliknya kami merancang untuk ke Adelaide selepas ini,'' tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman-Rani ketika ditemui enggan membuat sebarang ulasan mengenai isu tersebut.
Pada sidang akhbar itu, Fernandes berkata, ketidaktentuan ekonomi dunia tidak akan menjejaskan syarikat tersebut untuk mencatatkan pertumbuhan pada tahun ini.
Katanya, industri penerbangan tambang murah terus kukuh dan AirAsia tidak mahu ketinggalan dalam pertumbuhan tersebut.
Justeru, tambah beliau, walaupun ekonomi tidak menentu, syarikat penerbangan tambang murah itu akan terus menambah laluan baharu termasuk Lombok dan tiga destinasi di China.
''Kami mahu lebih hubungan dan kekerapan dan kelembapan ekonomi bukan penghalang AirAsia untuk berkembang,'' tambahnya.
Beliau berkata, AirAsia bakal memiliki 375 buah pesawat lagi dalam tempoh 10 tahun akan datang dengan membabitkan kos sebanyak AS$25 bilion (RM75 bilion).
Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 300 buah pesawat adalah A320 neo.
No comments:
Post a Comment