13 February 2012

Memahami kaedah urus niaga saham

PERKARA paling utama platform dagangan secara dalam talian adalah butang yang membolehkan pelabur membuat pesanan belian dan jualan saham-saham yang tersenarai di Bursa Malaysia. Dengan adanya kemudahan ini, seseorang pelabur yang berdaftar boleh terus membuat pesanan belian dan juga jualan saham yang dikehendaki melalui laman web broker saham mereka.

Pelabur boleh juga melihat status pesanan mereka secara dalam talian sama ada pesanan tersebut telah berada di dalam pasaran atau pun pesanan tersebut telah berjaya dilaksanakan. Pelabur masih boleh menukar pesanan atau membatalkan sebarang pesanan belian atau jualan selagi pesanan tersebut belum berlaku.

Pelabur akan dapat melihat harga-harga terkini saham yang diniagakan pada masa sebenar yang sebelum ini hanya diperolehi oleh broker-broker saham.

Kebanyakan syarikat broker saham juga memberikan carta pergerakan harga saham terkini secara percuma kepada pelabur mereka. Ini banyak membantu pelabur untuk membuat kajian dan penyelidikan sebelum mereka membuat sebarang keputusan membeli atau menjual pegangan saham mereka.

Syarikat broker saham juga memasukkan semua maklumat terkini tentang kedudukan pasaran, bahan kajian penyelidikan dan juga kedudukan kewangan syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Semua maklumat yang diperoleh oleh pelabur dalam talian didapati sangat membantu mereka untuk membuat keputusan terbaik di dalam urusan jual beli saham di Bursa Malaysia.

Bagaimana cara membuat dagangan dalam talian?

Apabila seorang pelabur ingin membeli sesuatu kaunter yang di urus niaga di Bursa Malaysia, beliau akan menekan butang "BUY" di skrin laman web broker mereka dan memasukkan secara terperinci berapa unit saham yang mereka ingin beli, harga saham yang ingin dibeli dan nama akaun mereka.

Seterusnya mereka akan memasukkan kata laluan peribadi sebagai proses keselamatan sebelum pesanan tersebut boleh masuk ke sistem komputer broker saham yang disambung terus ke sistem komputer di Bursa Malaysia.

Begitu juga proses yang sama akan dilakukan oleh pelabur apabila mereka ingin membuat pesanan jualan ke atas saham yang mereka miliki. Mereka akan menekan butang "SELL" pada skrin laman web dan memasukkan semua perincian tentang saham yang ingin dijual. Pelabur seterusnya akan melihat kedudukan belian dan jualan saham mereka pada butang "ORDER STATUS" sama ada pesanan tersebut telah berjaya dilaksanakan atau belum. Selagi sesuatu pesanan belian atau jualan itu belum terlaksana, seorang pelabur masih boleh membatalkan pesanan tersebut.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_05.htm

No comments:

Post a Comment