04 June 2011

Kolej Komuniti Kok Lanas peneraju komuniti berilmu


Sebahagian daripada peserta mengikuti kursus kemahiran jahitan di Kolej Komuniti Kok Lanas, Kota Bharu baru-baru ini.

KOTA BHARU 31 Mei - Sesuai dengan fungsinya sebagai peneraju komuniti berilmu dan berkemahiran, Kolej Komuniti Kok Lanas (KKKL) menawarkan Program Latihan 1Malaysia (PL1M) kepada kelompok masyarakat yang berminat untuk memperkasakan diri mereka dengan kemahiran baru.

Pengarahnya, Zairon Mustapha berkata, individu secara berkumpulan antara 10 sehingga 15 orang boleh memohon untuk menyertai kursus kemahiran seperti urutan tradisional, asas solekan, jahitan, masakan, baik pulih komputer dan pelbagai lagi yang dikendalikan tenaga pengajar di kolej itu serta profesional luar.

Katanya, selain berbentuk kemahiran, program itu juga meliputi kursus muzik tradisional seperti kompang, dikir barat, silat dan kertuk serta kursus bahasa Arab, Inggeris, Siam dan Mandarin.

"Kursus jangka pendek yang diadakan mengikut kesesuaian masa peserta dengan bayaran yuran RM1 sejam bagi kursus kemahiran dan muzik manakala bagi kursus bahasa RM10 bagi 32 jam pembelajaran.

"Kami membuka pintu kepada semua orang untuk menimba ilmu dan kemahiran demi kemajuan diri dan keluarga," katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Zairon berkata, PL1M selaras dengan misi kolej untuk menyediakan pelbagai peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada seluruh peringkat masyarakat tanpa mengira umur dan taraf hidup.

Beliau memberi contoh kursus jangka pendek fesyen yang dijalankan di kolej itu sejak beberapa tahun lalu dengan kerjasama Yayasan Kemiskinan Kelantan telah memberi manfaat kepada ramai penduduk yang kurang bernasib baik untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Katanya, orang awam yang berminat dengan peluang pendidikan dan latihan di KKKL boleh menghubungi pihaknya di talian 09-7880400 untuk keterangan lanjut.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment