06 February 2012

Dagangan saham dalam talian selamat

PENULIS adalah Ketua Urus niaga Jupiter Securities Sdn. Bhd.

Adakah dagangan secara dalam talian ini selamat kepada pelabur?

Dagangan secara dalam talian (online trading) ini terbukti telah memberi banyak kemudahan dan kelebihan kepada pelabur-pelabur yang aktif berurusniaga di Bursa Malaysia.

Terdapat ciri-ciri keselamatan yang dibuat oleh pihak broker saham apabila seseorang pelabur berurusniaga secara online trading.

Sebagai contoh, apabila seseorang pelabur ingin memasukkan pesanan belian ke dalam talian, sistem komputer telah pun menetapkan had belian yang boleh dilakukan oleh seorang pelabur mengikut perjanjian sedia ada dengan broker.

Jadi seseorang pelabur tidak perlu risau sekiranya beliau membeli dengan jumlah yang terlebih dari had yang dibenarkan. Sistem komputer akan menghalang perkara ini dari berlaku. Begitu juga apabila seseorang pelabur memasukkan pesanan jualan, sistem komputer akan menentukan pelabur perlu ada saham berkenaan sebelum pesanan tersebut masuk ke dalam sistem urusniaga di Bursa Malaysia. Tidak akan berlaku situasi jualan singkat di dalam akaun pelabur tersebut.

Malah, pelabur akan melalui dua peringkat keselamatan dalam bentuk pertanyaan kata laluan dan pertanyaan secara terperinci tentang belian ataupun jualan yang beliau ingin lakukan sebelum pelabur memasukkan pesanan tersebut.

Ciri-ciri keselamatan didalam sistem sedia ada ini didapati sudah mencukupi untuk membantu pelabur melakukan urusan jual beli saham dengan selamat dan mudah. Pelabur juga boleh terus menyemak status jual beli saham mereka secara online dan juga boleh menyemak status terkini kedudukan saham-saham yang mereka miliki dan juga nilai saham terkini mereka.

Baki wang tunai di dalam akaun urus niaga mereka juga akan ditunjukkan di dalam sistem komputer. Dengan ini, pelabur tidak perlu berasa ragu tentang status urusniaga, pegangan saham dan juga kedudukan tunai beliau di dalam akaun di syarikat broker.

Adakah latihan diberikan kepada pelabur?

Boleh dikatakan semua broker saham yang mempunyai sistem jual beli saham secara online ada memberikan latihan secara percuma kepada pelanggan-pelanggan online trading mereka. Latihan asas ini selalunya diberikan pada setiap bulan. Pelanggan boleh melawati laman web syarikat broker mereka untuk melihat jadual latihan yang diberikan.

Pelabur-pelabur baru boleh menghadiri sesi-sesi latihan yang akan mengajar pelabur bagaimana menggunakan sistem online ini secara terperinci sehingga pelabur benar-benar yakin dan mahir untuk melakukan urusan jual beli saham secara online trading. Pelabur juga boleh terus menelefon broker-broker saham mereka pada waktu pejabat jika ingin bertanyakan soalan berkaitan sistem online trading ini.

No comments:

Post a Comment