28 June 2010

Konsensus BEBAS tolak pemansuhan UPSR, PMR



Cadangan kerajaan untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mendapat tentangan pelbagai pihak.

Konsesus bebas Parlimen berpendapat peperiksaan awam UPSR untuk tahun enam dan PMR untuk tingkata tiga perlu dikekalkan kerana ia merupakan kayu pengukur bagi tahap pencapaian persekolahan pelajar.

"Jika peperiksaan tersebut dijadikan penilaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, ini bermakna tiada piawaian menyeluruh di peringkat kebangsaan. Keputusan peperiksaan UPSR (dengan pencapaian) 5A dari sekolah luar bandar mungkin tidak sama nilainya dengan keputusan UPSR 5A dari sekolah di bandar.

"Rasional bahawa peperiksaan UPSR dan PMR mendorong kepada sistem pendidikan yang menjuruskan kepada peperiksaan tidak boleh dinafikan, tetapi pemansuhan peperiksaan tersebut bukanlah penyelesaian terbaik," kata konsensus itu.

Lima anggota konsensus itu Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Wee Choo Keong (Wangsa Maju), Tan Tee Beng (Parlimen Nibong Tebal), Zulkifli bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).

Dalam satu kenyataan hari ini, wakil rakyat itu turut berpendapat, kaedah latihan perguruan dan silibus pembelajaran perlu dikaji semula.

"Konsensus bebas berpendapat bahawa sistem pendidikan di Malaysia seolah-olah bergantung kepada citarasa menteri. Dasar pendidikan berubah mengikut perubahan penjawat portfolio menteri pelajaran," kata mereka.

sumber
http://www.malaysiakini.com/news/135248

15 June 2010

2,500 Tabika dalam tiga tahun




Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan membina 2,500 Tabika dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini bagi meningkatkan kemasukan kanak-kanak berusia lima dan enam tahun ke sekolah.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kementerian itu menerima dana hampir RM500 juta menerusi Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) untuk tujuan berkenaan.Beliau berkata, peruntukan RM98 juta sudah diterima untuk mewujudkan 500 Tabika tahun ini.

“Bakinya sebanyak RM200 juta untuk membina 1,000 Tabika pada tahun depan dan jumlah yang sama pada 2012,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Kebangsaan 2010 di Behrang, dekat sini, semalam.

Mohd Shafie berkata, kebanyakan Tabika baru berkenaan akan dibina di luar bandar dan pinggir bandar, terutama di kawasan yang belum ada tadika swasta dan prasekolah di sekolah kebangsaan.

Katanya, kini ada 8,500 Tabika Kemas di seluruh negara dengan 190,000 kanak-kanak.

Beliau berkata, pembinaan 2,500 Tabika baru itu akan membuka kira-kira 5,000 peluang pekerjaan sebagai guru pendidikan awal kanak-kanak.
“Mereka yang berminat untuk memohon sebagai guru Tabika Kemas perlu mempunyai lima kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Guru akan diberi latihan untuk mendapat Diploma Perguruan Malaysia ,” katanya.

Mohd Shafie berkata, seramai 256 guru Tabika Kemas lulusan Diploma Perguruan Malaysia sudah dilantik ke Gred S27.

Katanya, seramai 257 lagi guru akan tamat diploma masing-masing hujung bulan ini.

Petikan Berita Harian 15/06/2010

Kerajaan mahu laksana Dasar Bahasa Ibunda Pelajar di semua sekolah kebangsaan



Kementerian Pelajaran mahu melaksanakan sepenuhnya dasar Bahasa Ibunda Pelajar (POL) di semua sekolah kebangsaan bagi memudahkan pelajar bukan Melayu mempelajari bahasa ibunda mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata dasar itu sudah lama diperkenalkan dan setakat ini ada beberapa sekolah yang mempunyai guru mengajar bahasa Mandarin dan Tamil.

"Kenyataan ini bagi membetulkan kenyataan yang dibuat sebelum ini, iaitu mewajibkan sekolah kebangsaan mengajar matapelajaran Mandarin dan Tamil, yang penting sekarang ini perkukuhkan pembelajaran bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan.

"Dasar itu sudah ada bukan saya buat pengumuman dasar baru tetapi dasar yang ada hendak cuba laksanakan sepenuhnya, pelajar mempunyai pilihan, apabila mereka mahu menguasai bahasa ibunda...mereka boleh memperolehnya menerusi sistem pendidikan kebangsaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Muhyiddin berkata apa yang berlaku pada masa lepas berkemungkinan di peringkat sekolah terdapat pengetua atau guru besar yang tidak memberi perhatian terhadap soal itu, oleh itu terdapat ibu bapa berbangsa Cina dan Tamil kurang berpuas hati.

"Dengan adanya kemudahan ini pelajar Cina dan India tidak perlu bersesak di Sekolah Jenis Kebangsaan yang kadang-kadang tidak cukup tempat, selain itu pelajar Melayu juga boleh ambil kesempatan untuk pelajari bahasa Mandarin dan Tamil," katanya.
Beliau berkata setakat ini terdapat 373 orang guru yang mengajar bahasa Mandarin dan 163 guru mengajar bahasa Tamil di sekolah kebangsaan di bawah dasar POL.

Kementerian Pelajaran juga sedang berusaha menyediakan tenaga pengajar yang mencukupi untuk mengajar kedua-dua bahasa itu.

Katanya, langkah yang perlu diambil sekarang ialah memastikan setiap sekolah mempunyai guru terlatih dalam bahasa Mandarin dan Tamil kerana terdapat lebih 7,000 sekolah rendah di seluruh negara.

"Kita akan melatih guru yang berkelayakan dan mereka nanti akan ditempatkan di semua sekolah yang ada diseluruh negara, sama ada mereka mahu belajar atau tidak...itu soal kedua," katanya. - BERNAMA

Petikan Berita Harian 15/06/2010

14 June 2010

masuk sekolah seawal 5 tahun

BERITA HARIAN 14/06/2010

KUALA BERANG: Sistem pendidikan formal seawal usia lima tahun dijangka dilaksanakan sepenuhnya pada akhir Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10), selepas Kementerian Pelajaran menyediakan prasarana, termasuk bekalan elektrik 24 jam serta air bersih.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata sistem berkenaan adalah satu rancangan besar dan ia tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa

"Peringkat awal RMKe-10 akan dimulakan dengan penyediaan prasarana asas seperti bilik darjah dan melantik guru bertauliah, selain menyediakan kemudahan lain secara berperingkat. "Ia adalah usaha kerajaan untuk meningkatkan mutu pendidikan negara setaraf negara maju dan mengelak berlakunya keciciran dari peringkat awal lagi," katanya selepas majlis penyerahan wang pendahuluan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan sumbangan kecemerlangan peperiksaan awam peringkat Parlimen Hulu Terengganu 2010 di sini, semalam.

Hadir sama Yang Dipertua Dewan Undangan negeri, Datuk Tengku Putera Awang; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Nor Othman dan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Ajil, Datuk Rosol Wahid.

Beliau mengulas persediaan kementerian untuk melaksanakan sistem persekolahan formal seawal usia lima tahun seperti terkandung dalam RMKe-10 (2011-2015) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen, Khamis lalu.

Mohd Puad berkata, tumpuan kementeriannya kini ialah usaha membangunkan kemudahan asas di sekolah seluruh negara, selain memastikan semua guru prasekolah terdiri daripada mereka yang mempunyai diploma dan ijazah.
"Untuk kawasan terpencil seperti di Sabah dan Sarawak, kerajaan akan membina kemudahan prasekolah di rumah panjang dan kerajaan mensasarkan 70 peratus kanak-kanak memasuki prasekolah seluruh negara pada 2012," katanya