30 April 2011

MSAM 2011 tarik 177,000 pengunjung


KAKITANGAN Pro Lintas mencuba permainan video interaktif selepas seminggu bertungkus-lumus bekerja di gerai pameran Pro Lintas pada Minggu Saham Amanah Malaysia 2011 di Ipoh, semalam.


KUALA LUMPUR 26 April - Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2011 yang diadakan di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh berjaya mencatatkan 177,000 pengunjung, sekali gus melepasi sasaran Permodalan Nasional Bhd. (PNB) sebelum ini.

Pengerusinya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kejayaan melepasi sasaran seramai 160,000 pengunjung itu menunjukkan orang ramai mahu mengikuti perkembangan PNB.

Menurut beliau, PNB sentiasa menjadikan pesanan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kegagalan bukanlah satu pilihan yang dijadikan pegangan firma pelaburan negara itu.

''Ingatan ini juga menjadi teras kepada PNB untuk terus mengukir kejayaan dan memperkasakan pendidikan pelaburan bagi menambah keyakinan rakyat yang menjadi kekuatannya," kata beliau dalam ucapan alu-aluan pada majlis penutup MSAM di sini hari ini.

Penutupan MSAM disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahmad Sarji berkata, kejayaan yang diraih PNB hari ini disumbangkan oleh tujuh faktor utama iaitu strateginya menyediakan perkhidmatan yang mudah dan pantas menerusi 1,600 ejennya iaitu Malayan Banking Bhd. (Maybank), CIMB Bank, RHB Bank dan Pos Malaysia di seluruh negara.

Selain itu, katanya, program pendidikan berterusan menerusi MSAM, Seminar Pelaburan 360 hari, Kuiz Pelaburan PNB bagi pelajar sekolah, universiti, badan beruniform dan institut pendidikan guru serta Kelab Pelaburan Bijak dan Pidato Pelaburan di 104 sekolah telah meningkatkan celik pelaburan.

Tambahnya, satu lagi kekuatan PNB adalah keupayaan mengagihkan kadar dividen yang kompetitif.

''Contohnya sepanjang tahun lalu, PNB membayar agihan pendapatan pada kadar 5.00 sen seunit sehingga 7.50 sen bagi kesemua 11 tabung amanahnya.

Ahmad Sarji berkata, PNB juga giat meningkatkan jumlah aset hartanahnya dengan pemilikan Menara PNB, Bangunan MAS, Kenanga, PNB Darby Park dan Menara Tun Ismail Mohamed Ali.

Firma pelaburan itu juga pemilik Wisma Nusantara, Bangunan MIDF, PNB Damansara, Wisma KPMG dan SPPK, selain bangunan pejabat 37 tingkat, Santos Place di Brisbane, Australia.

''Dengan menguruskan unit amanah berjumlah 127 bilion milik 10.4 juta pelabur menjadikan dana yang diuruskan mencecah RM189 bilion dilabur dalam ekuiti syarikat besar seperti Maybank, Sime Darby Bhd., Northport dan UMW Holdings Bhd.

Dari segi kewangan Islam, syarikat PNB seperti Etiqa dan Takaful Ikhlas menguasai sebanyak 59.5 peratus daripada nilai sumbangan takaful negara manakala Maybank Islamic pula menguasai 17 peratus daripada nilai pembiayaan perbankan Islam di Malaysia.

Hutang isi rumah negara tertinggi di dunia

PULAU PINANG 26 April - Nisbah hutang isi rumah kepada pendapatan boleh guna rakyat negara ini merupakan antara yang tertinggi di dunia dengan kadar 140 peratus.

Penasihat Khas kepada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Dr. Michael Lim Mah Hui ketika mendedahkan perkara itu berkata, kadar tersebut jauh mengatasi Singapura dengan 105 peratus, Amerika Syarikat (123.3 peratus), Korea (101 peratus), Thailand (52.7 peratus) dan Indonesia (38 peratus).

Menurut beliau, pinjaman yang diambil bagi setiap isi rumah di negara ini pula adalah pada kadar 1.4 kali lebih tinggi berbanding pendapatan menyebabkan pendapatan boleh guna menjadi semakin sedikit.

"Nisbah bayar hutang isi rumah juga semakin meningkat iaitu 39.5 peratus pada 2008, 49 peratus (2009) dan menurun sedikit kepada 47.8 peratus pada tahun lalu yang menunjukkan hampir separuh daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk membayar hutang.

"Oleh itu, tidak banyak lagi yang tinggal untuk dibelanjakan bagi makanan, pengangkutan, pendidikan dan kecemasan. Bagaimana jika pencari nafkah jatuh sakit atau hilang pekerjaan? Situasi akan menjadi sukar dan ini amat membimbangkan," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurut Mah Hui, bahagian terbesar hutang isi rumah di negara ini adalah untuk membayar balik pinjaman perumahan diikuti pinjaman kereta, penggunaan peribadi, pembelian saham dan kad kredit.

Katanya, berbelanja menggunakan dana yang dipinjam boleh meningkatkan ekonomi tetapi ia juga boleh memperlahankan ekonomi apabila isi rumah dipaksa menahan perbelanjaan dalam usaha untuk membayar semula pinjaman mereka.

Justeru, katanya, kerajaan perlu mengetatkan peraturan sedia ada termasuk dalam urusan gadai janji dalam pasaran hartanah dengan meningkatkan bayaran pendahuluan yang minimum selain meningkatkan deposit dan mengurangkan tempoh pinjaman kereta.

"Kerajaan juga perlu menghentikan iklan bagi pinjaman dan kad kredit yang tidak telus mengenai kos yang terlibat. Semua ini mampu meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat, sekali gus membendung mereka daripada berhutang terlalu tinggi sehingga tidak mampu dibayar," katanya.