25 July 2011

Pendawaian, program PLC

MINGGU ini kita sambung lagi dengan langkah-langkah untuk membuat penyambungan pendawaian sebelum diikuti dengan proses membuat program dan memuat turun program tersebut kepada Programmable Logic Controller (PLC) atau suis pintar.

Dengan menyediakan komponen- komponen seperti yang disenaraikan pada siri 95 minggu lepas, kita boleh mula membuat suis pintar.

Langkah awal

-Sebelum programkan PLC, pastikan sumber bekalan kuasa PLC tersebut dikenal pasti dahulu sama ada arus uang alik atau arus terus AC/DC.

-Penyambungan PLC adalah bergantung kepada jenis

LC yang digunakan.

-Sesebuah PLC mempunyai input dan output.

-Di dalam sebuah PLC kebiasaannya mengandungi relay, timer dan counter yang dipanggil sebagai INTERNAL.

-Kepelbagaian penggunaan PLC juga bergantung kepada jenis PLC atau I/O yang digunakan.

Cara-cara membuat penyambungan

-Sambungkan suis pada terminal input PLC

-Terminal output di sambung pada coil relay

-(sila rujuk pada gambarajah yang disertakan)

-Simbol 'c' akan disambung kepada terminal positif(+) manakala simbol 'c* ' akan disambung kepada terminal negatif (-)

-Simbol 'no' akan disambung kepada terminal positif (+) lampu manakala 'no*' akan disambung kepada terminal negatif (-) lampu

-Nota: 3 lampu bermakna 3 relay diperlukan dengan penyambungan yang sama. Dalam membuat suis pintar ini, tiga (3) unit lampu digunakan iaitu hijau, kuning dan merah.

Langkah-langkah untuk membuat dan memuat turun PLC

-Pastikan komputer dalam keadaan selamat

-Pastikan anda tidak menggunakan program lain semasa membuat ladder

-Sambungkan kabel USB ke PLC (Serial Port)

-Pastikan sumber bekalan kuasa PLC sama ada AC/ DC dalam keadaan stabil (ini untuk mengelakkan PLC daripada berada dalam keadaan 'hang')

-Pastikan PLC dalam keadaan 'ON'

Bersambung padaminggu hadapan dengan 'Cara-Cara Membuat Program PLC'. Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh emel kepada mail@zulldesign.com.my

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0725&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sains_%26_Teknologi&pg=st_01.htm


18 July 2011

RM420 untuk setiap 12 gram




TATKALA menaip perkataan 'gaharu' di laman web, bersusun alamat laman web dari Indonesia pada skrin komputer. Masing-masing mempromosikan minyak gaharu atau lebih dikenali sebagai agarwood oil di peringkat dunia.

Minyak yang menghasilkan aroma yang mewangi ini mendapat permintaan yang amat tinggi di Timur Tengah, terutamanya Arab Saudi dan Dubai, berikutan adat masyarakat di sana yang gemarkan wangi-wangian. Ia sama ada dicampur dengan minyak lain untuk menghasilkan minyak wangi atau minyak atar, atau dijual tulen.

Malaysia sebaliknya lebih cenderung untuk mengeksport hasil kayu ini dalam bentuk kepingan kayu karas atau damar gaharu berbanding minyak yang diekstrak.

Malah sehingga tahun 1997, Lembaga Perkayuan Malaysia (MTC) melaporkan bahawa negara ini pernah mengeksport gaharu dalam bentuk kepingan bernilai lebih RM50 juta dalam tempoh lima tahun.

"Saya sudah terlibat dalam perniagaan karas-gaharu ini sejak 18 tahun lalu. Tujuh tahun pertama saya mulakan dengan menjual kepingan kayu karas dan damarnya sahaja, sama ada ke pasaran Thailand ataupun tempatan.

"Tetapi setelah melihat cara kayu-kayu ini diproses serta pulangan yang cukup lumayan daripada penjualan minyaknya, saya memutuskan untuk pergi lebih jauh," ujar Mazalan Mohamed, 40, yang ditemui di kilang memproses minyak gaharunya yang terletak di Kampung Star Baru, Gua Musang, Kelantan.


Mesin pengisar yang didatangkan dari Thailand


Mazalan turut beroperasi tanpa orang tengah, selain mengubah pendekatan perniagaan dengan menjual minyak gaharu berbanding sekadar kepingan kayu karas.

Jika sebelum ini Mazalan hanya memenuhi permintaan Thailand dan tempatan, kini minyak gaharu keluaran PMW Enterprise sudah berada dalam pasaran Dubai, Arab Saudi dan Bahrain.

Menjenguk kilang-kilang pemprosesannya, bahang yang berkuap di dalam dirian sederhana itu tidak sedikit pun melunturkan semangat krew EKSTRA untuk meninjau lanjut.

Kedatangan yang disambut dengan pemandangan dua wanita berusia yang sedang mencincang kepingan kayu karas yang memenuhi ruang lantai menambah lagi keinginan untuk meneroka.

Biarpun bertubuh kurus dan sudah berusia, kedua-dua wanita ini pantas saja melakukan kerja. Sekali-sekala melemparkan senyuman ke arah kami, tangan mereka terus menghentak parang dalam genggaman.

Potongan kayu karas itu kemudiannya dimasukkan ke dalam sebuah mesin pengisar yang berdiri tegap di satu sudut. Kongsi Mazalan, mesin itu berharga tidak kurang daripada RM12,500 sebuah.

"Hasil kisaran kemudiannya diperam di dalam air selama dua minggu. Selepas itu ia akan dikeringkan. Untuk karas gred rendah, kami asingkan untuk dijual bagi membuat colok.

"Hasil daripada karas gred bermutu lebih tinggi akan dimasak di dalam dapur antara lima hingga 10 hari, bergantung kepada gred, untuk mengekstrak minyaknya," jelas anak kelahiran Kampung Chasi, Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan ini.

Bahagian pemprosesan yang menggunakan teknologi yang 'diimport' dari Thailand ini memperlihatkan 60 dapur berbaris panjang dengan setiap satunya dilengkapi tong gas sendiri. Kata Mazalan, kos keseluruhan pembinaan dapur ini ialah RM50,000.

"Satu pusingan memasak serbuk kayu karas untuk gred C rendah, yang mengambil masa lima hari, menghabiskan sehingga dua tong gas 16.5 kilogram.

"Tetapi untuk gred C tinggi dan ke atas yang dimasak sehingga 10 hari, empat tong gas yang sama diperlukan," tambah bapa kepada empat orang anak ini.


KOS pembuatan dan pemasangan dapur ini mencecah RM50,000.


Selepas lima hari, minyak gaharu akan terkumpul di dalam tabung suling dan terapung di lapisan atas permukaan air. Ekstrak ini akan 'dikutip' pada setiap lima hari mengikut jadual yang ditetapkan.

Mendirikan tiga buah kilang, dengan sebuah di Bukit Beruntung, Selangor, Mazalan berkata pemprosesan dijalankan 24 jam sehari. Ini kerana jika api dapur dimatikan, proses pemanasan akan menggunakan lebih banyak gas dan memakan masa.

Untuk tujuan eksport, Mazalan menyimpan minyak gaharu yang telah dikumpul ke dalam botol aluminium bermuatan 1.2 liter. Dalam sebulan, dapur itu dapat menghasilkan enam botol aluminium minyak gaharu.

"Minyak ini dijual pada harga RM420 setiap 12 gram, iaitu menyamai satu botol tolal.

"Kami dapat menjual pada harga ini kerana kami dapat menyediakan minyak gaharu yang pekat sebagaimana diminta pembeli," katanya yang menjelaskan, semakin pekat minyak gaharu, semakin tinggi nilainya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0525&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm


Syarikat diterajui Norazlan miliki kilang di Padang, Indonesia, dapat geran RM500,000 buat penyelidikan

KOMODITI ini terkenal di seluruh dunia dengan pelbagai panggilan, Chen Xiang bagi masyarakat Cina, Jin-Ko (Jepun) dan Oud atau Oode di kalangan bangsa Arab.
Kayu gaharu - termasuk di dalam genus ‘Aquilaria’ adalah antara khazanah tumbuh-tumbuhan di Malaysia yang mempunyai permintaan tinggi dari luar negara. Secara keseluruhan terdapat lapan jenis pokok gaharu di dunia tetapi di Malaysia hanya ada empat jenis iaitu Karas, Candan Gajah, Candan Gunung dan Cendana.

ekilogram kayu gaharu jenis karas dianggarkan bernilai di antara RM5,000 hingga RM60,000; Candan Gajah (RM180,000 hingga RM200,000) dan Candan Gunung (RM1 juta) manakala harga seliter minyaknya pula dianggarkan bernilai 10 kali ganda dari kayunya.

Di seluruh dunia, pokok gaharu yang dikenali sebagai Agarwood menjadi pilihan ramai berikutan kebolehannya mengeluarkan aroma menyenangkan dan menjadi kegemaran masyarakat di rantau Asia Barat.

Keistimewaan gaharu turut menyebabkan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berusaha menjadikan negara ini sebagai pusat pengeluar gaharu terbesar di rantau Asia dalam tempoh enam tahun akan datang selepas mendapati hasil daripada penanaman pokok karas amat lumayan, sehingga mencecah RM800,000 untuk kawasan 0.4 hektar.
Buat masa ini, Malaysia adalah negara ketiga terbesar dunia sebagai pengeluar gaharu selepas India dan Indonesia, tetapi FRIM menjangka negara ini mampu menjadi pusat pengeluar gaharu terbesar di rantau Asia dalam tempoh yang disasarkan itu.

Permintaan dunia terhadap produk gaharu yang berguna dalam penghasilan kosmetik dan perubatan pula kini dianggarkan 4.5 juta kilogram dengan nilai RM18.4 bilion setahun.

Walaupun produk daripada kayu gaharu mempunyai permintaan tinggi dari seluruh dunia, tidak banyak syarikat tempatan yang menyedari potensi tanaman itu untuk dikomersilkan secara menyeluruh.

Jika ada sekali pun, kebanyakannya tidak mampu bertahan lama kerana penghasilan rangkaian produk kayu gaharu bukan saja membabitkan penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi, malah ia membabitkan konsep metafizik.

Antara syarikat tempatan yang berjaya mengkomersialkan sepenuhnya tanaman itu ialah Konsesi Utama (M) Sdn Bhd yang ditubuhkan sejak 2000 untuk mempelopori usaha menjadikan kayu gaharu sebagai satu perniagaan berdaya maju.

Syarikat yang mempunyai kilang pengeluarannya sendiri di Bandar Teknologi Kajang itu ditubuhkan oleh usahawan gigih, Norazlan Lumi yang telah menjalankan kajian mengenai manfaat kayu gaharu selama lebih 10 tahun.

Beliau adalah pengasas dan Pengarah Urusan Konsesi utama iaitu satu-satunya syarikat Malaysia yang menghasilkan rangkaian produk daripada keseluruhan kayu gaharu bermula daripada akar hingga ke batangnya.

Norazlan, 50, sebelum itu adalah kontraktor kelas F yang mengambil keputusan beralih ke bidang keusahawanan berikutan kekangan jumlah projek yang boleh dikendalikannya selain minatnya ke arah produk kayu gaharu semakin berputik.

“Pada awalnya, saya berhasrat menceburi bidang pertanian tetapi menyedari persaingan sengit dalam industri itu menyebabkan saya menyelidik tanaman lain yang belum dikomersilkan sepenuhnya.

“Sekitar tahun 2000, saya mula didedahkan dengan kayu gaharu yang diperoleh daripada orang Asli dari hutan seluruh negara. Penjualannya adalah secara kecil-kecilan,” katanya ketika ditemui di kilangnya baru-baru ini.

Norazlan berkata, usaha itu berterusan untuk beberapa tahun dan pada masa sama beliau gigih menjalankan kajian bagi mendapatkan ekstrak kayu gaharu menerusi usahanya sendiri tanpa mendapatkan sebarang geran bantuan penyelidikan daripada mana-mana agensi.

Bagaimanapun, katanya selain mengadunkan bidang sains dan teknologi, pengusaha kayu gaharu tidak boleh sama sekali mengenepikan peranan bidang metafizik dalam mengusahakan tanaman itu.

“Kita sendiri maklum bahawa tanaman itu diambil daripada khazanah alam yang berharga, justeru langkah memprosesnya perlu dijalankan secara tertib antaranya jika boleh sentiasa berwuduk dan menjaga kebersihan sekeliling ketika memproses.

“Jika amalan itu dikekalkan, Insya-Allah perniagaan kayu gaharu boleh diusahakan sehingga berjaya,” katanya.

Pada 2005, syarikat itu melangkah setapak apabila mula mengendalikan kilang untuk menghasilkan ekstrak daripada kayu gaharu dengan menggunakan empat dapur pemproses membabitkan pelaburan kira-kira RM25,000.

“Kini, syarikat mempunyai 36 dapur pemproses untuk mendapatkan ekstrak daripada kayu gaharu,” katanya.

Antara produk yang dihasilkan oleh syarikat itu termasuk minyak gaharu asli, minyak wangi gaharu asli, teh gaharu, setanggi gaharu, tikar dan tasbih gaharu, krim kulit gaharu dan produk hiliran minyak lintah gaharu.

Buat masa ini, Norazlan berkata rangkaian produknya adalah untuk pasaran luar negara dengan rantau Asia Barat menjadi penyumbang utama hasil jualan syarikat iaitu kira-kira 90 peratus.

Konsesi Utama terus melangkah maju apabila berjaya memperoleh geran bernilai RM500,000 daripada Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) bagi membolehkannya menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan produk penjagaan kulit daripada kayu gaharu.

Kajian itu dilaksanakan menerusi kerjasama syarikat dengan Loji Pandu Kejuruteraan Kimia, sebuah anak syarikat Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pada masa sama, Norazlan berkata Konsesi Utama terus melangkah maju apabila membuka kilang sulungnya di luar negara iaitu di Padang, Indonesia pada akhir tahun lalu dengan sasaran menembusi pasaran serantau.

Katanya, syarikat turut menjalin kerjasama penyelidikan dengan institusi pengajian tinggi terkemuka republik itu, Universiti Bogor untuk mengkaji khasiat tanaman berkenaan.

Paling membanggakan, katanya Konsesi Utama turut dilantik oleh kerajaan Kemboja sebagai penasihat dalam industri perusahaan dan tanaman kayu gaharu selepas berjaya membuktikan peranannya dalam perkembangan industri itu di Malaysia.

Pada masa ini, Norazlan turut dibantu oleh anak sulungnya, Norsharizam, 28, kini ketua eksekutif syarikat yang berperanan mengukuhkan pasaran rangkaian produk Konsesi Utama.

Norsharizam berkata, syarikat berhasrat mengukuhkan rangkaian pemasarannya di dalam negara memandangkan terdapat permintaan luas terhadap produk itu yang kurang disedari masyarakat.

“Permintaan terhadap kayu gaharu tidak akan putus selagi kegunaannya dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

UiTM cipta teknik penghasilan damar gaharu bermutu tinggi

SHAH ALAM 12 Jan. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) maju setapak lagi dalam dunia penyelidikan apabila berjaya mencipta teknik perangsang pertumbuhan pokok gaharu dan penghasilan damar yang bermutu tinggi.

Hasil penyelidikan selama setahun yang diketuai oleh Timbalan Dekan Fakulti Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM, Prof. Dr. Ku Halim Ku Hamid antara lainnya mampu menghasilkan lebih banyak pati minyak gaharu berkualiti tinggi.

Kejayaan itu mendapat pengiktirafan Southern Farm Valley Johore Sdn. Bhd. apabila firma itu memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan UiTM hari ini untuk mengeluarkan dan memasarkan produk tersebut di dalam dan luar negara.

Ku Halim ketika ditemui selepas majlis itu yakin produk berkenaan mampu memberi pulangan hasil jualan lebih RM300,000 sebulan kepada syarikat terbabit.

"Walaupun hanya menggunakan laman web interaksi sosial seperti Facebook sebagai medium promosi, ia tetap menerima permintaan tinggi dari beberapa negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia.

"Malah di Asia Barat yang terkenal dengan industri minyak gaharu turut menyatakan minat untuk mendapatkan produk tersebut," katanya.

Menurut Ku Halim, pihaknya merancang mengeluarkan lebih banyak produk berasaskan damar pokok gaharu.

"Kami sedang melakukan penyelidikan untuk menghasilkan produk kosmetik menggunakan damar pokok gaharu menjelang pertengahan tahun depan," katanya.

http://www.utusanonline.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sains_%26_Teknologi&pg=st_01.htm

tanaman gaharu

www.youtube.com/watch?v=kgtwmBeYgPY

Siri Sistem PLC

Minggu lepas, kita telah membincangkan tentang suis pintar yang boleh dibuat menggunakan Programmable Logic Controller (PLC).

Keistimewaan PLC adalah kita boleh mencipta apa jua program yang dikehendaki.

PLC berfungsi dengan cara memerlukan input dan akan memberi output dalam setiap program yang dilakukan.

Input yang diberi adalah merupakan arahan kepada PLC yang di muat turun daripada program yang dibuat dalam komputer.

Output pula merupakan arahan yang dikeluarkan daripada PLC setelah data input yang di muat turun tadi di terjemah dalam bentuk data signal yang dihantar kepada komponen yang terlibat sebagai contoh relay (geganti) .

Minggu ini pihak kami akan memberi satu contoh aplikasi program yang menggunakan PLC di mana kita akan membincangkan satu persatu langkah-langkah membuat program daripada penyediaan komponen sehingga kepada penyambungan dan membuat program ringkas.

Pertama sekali kita perlu menyediakan komponen utama iaitu PLC yang boleh di beli di kedai-kedai menjual komponen elektronik dan sensor.

Kebiasaan PLC yang biasa di gunakan adalah dari julat IO (input output) paling kecil 8 IO sehingga 64 IO.

Pemilihan PLC yang bakal digunakan adalah bergantung kepada faktor bilangan IO, pilihan AC atau DC, mempunyai data memori atau tidak, saiz PLC dan paling akhir adalah faktor harga.

Harga adalah bergantung kepada jenis dan jenama yang digunakan bermula dari yang paling murah sekitar RM300.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sains_%26_Teknologi&pg=st_01.htm


16 July 2011

Disambar petir ketika guna telefon bimbit


IZZAN Nuqry Muhamad yang cedera parah akibat disambar petir dibawa ke Hospital Umum Sarawak, Kuching untuk mendapatkan rawatan lanjut, semalam. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN


KUCHING 15 Julai - Kelekaan seorang remaja berbual menerusi telefon bimbit ketika cuaca buruk di kawasan terbuka mengundang padah apabila dia disambar petir petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, Izzan Nuqry Muhamad Yaakub, 18, pengsan di tempat kejadian dengan kesan luka dan melecur di beberapa bahagian badan termasuk tangan dan telinga kiri.

Menurut saksi, mangsa dikatakan sedang membersihkan dinding di luar surau Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang di sini sambil menjawab panggilan telefon menggunakan alat bebas tangan.

"Sebaik sahaja petir menyambar, Izzan Nuqry terus rebah dan tidak sedarkan diri. Beberapa orang rakan yang melihat kejadian itu bergegas membawanya ke HUS (Hospital Umum Sarawak)," katanya di sini, hari ini.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika hujan lebat yang disertai dengan petir sejak pukul 5 petang.

Keadaan remaja itu kini dilaporkan stabil walaupun masih berada dalam keadaan terkejut.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_15.htm

Pasaran saham dijangka naik

KUALA LUMPUR 15 Julai - Pasaran saham tempatan dijangka berada dalam arah aliran menaik selepas pembentangan Bajet 2012 pada 7 Oktober nanti kerana dianggap sebagai Bajet Pilihan Raya.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank (AIB), Dr. Nazri Khan berkata, ini kerana inti pati jangka pendek dalam pembentangan itu menjadi penentu tarikh pilihan raya.

Beliau berkata, pasaran meramalkan Pilihan Raya kali ke-13 akan diadakan pada Februari dan Mac.

Katanya, tidak mungkin kerajaan mahu mengadakan pilihan raya ini pada November ini kerana ribuan umat Islam menunaikan haji di Mekah.

''Jadi, pada pandangan AIB, bulan Februari adalah masa terbaik untuk memasuki pasaran,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Malah, tambah beliau, pasaran dijangka terus teguh sekiranya terdapat petanda-petanda awal Barisan Nasional mampu mengekalkan penguasaan dua pertiga dan memiliki semula sekurang-kurangnya dua negeri yang ditakluk pembangkang.

Berdasarkan ramalan itu, AIB berpendapat arah aliran kenaikan pasaran sehingga 65 peratus akan berlaku secara konsisten dua bulan sebelum pengumuman pilihan raya.

Namun, katanya, kenaikan itu tidak mampu menandingi lonjakan sebelum Tahun Baru Cina yang mencapai 75 peratus.

Ditanya mengenai maklum balas pasaran terhadap kerajaan, Dr. Nazri berkata, setakat ini pasaran sangat berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbanding ketika kerajaan di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam pada itu, beliau berkata, AIB meramalkan Bursa Malaysia akan berada dalam momentum positif untuk mencapai paras 1,630 mata hingga 1,650 mata pada tahun ini.

Tambahnya, AIB menyarankan pembelian bagi saham-saham perbankan, pembinaan serta minyak dan gas.

Beliau berkata, antara syarikat pembinaan yang mendapat perhatian pasaran ialah Gamuda kerana mendapat banyak manfaat daripada Program Transformasi Ekonomi dan MRCB pula bakal mengumumkan projek Sungai Buloh

Saham SP Setia dan Sun City dijangka turut menjadi perhatian kerana terlibat dalam projek-projek di Iskandar Malaysia, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm

15 July 2011

Perangkap lalat buatan pelajar


Linus ak Merayang, Bennetson Micheal Lai dan Lanado Bnaggit ak Lani bangga menunjukkan hasil ciptaan mereka pada ITEX di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


UJIKAJI yang dilakukan di sekolah oleh tiga sekawan yang sering diganggu oleh lalat menyebabkan mereka mula bersetuju untuk menghasilkan perangkap lalat.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Nanga Pak iaitu Linus ak Merayang, Bennetson Micheal Lai dan Lanado Bnaggit ak Lani di bawah seliaan guru sains mereka, Alex Antas anak Balo membina perangkap lalat.

Pelajar berusia 12 tahun itu menggunakan bahan-bahan buangan seperti botol minuman plastik 1.5 liter, botol minuman plastik 500 liter, blok kayu untuk dijadikan tapak 11 sm x 11 sm x 2sm, tiang kayu 25 sm x 2sm x 0.5 sm, selotep dan gelang getah.

Linus berkata, perangkap lalat berfungsi apabila lalat hinggap pada umpan seperti ikan kering.

Lalat yang masuk ke dalam perangkap akan masuk ke dalam injap dan dalam botol satu lagi apabila terbang semula.

“Lalat yang terperangkap boleh dibunuh dengan cara merendam perangkap ke dalam air atau membungkus perangkap dengan plastik bagi melemaskan lalat," katanya semasa ditemui semasa Pameran Reka Cipta dan Inovasi (ITEX) 2011 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perangkap lalat boleh digunakan untuk memerangkap lalat di kawasan yang banyak lalat seperti kawasan perumahan, kedai makan, restoran, kantin, dewan makan sekolah dan ladang ternakan.

Kos menghasilkan perangkap lalat amat rendah dan mampu dimiliki oleh sesiapa saja.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sains_%26_Teknologi&pg=st_02.htm


Suis pintar PLC

KINI kita telah pun hampir memasuki peringkat terakhir asas kreativiti dan inovasi. Alhamdulilah ramai peminat menceburkan diri dalam reka cipta kerana kita telah menerima beratus e-mel setiap minggu.

Tahniah kepada pembaca-pembaca yang mengikuti siri inovasi bersama MEGA-Utusan Malaysia.

Kali ini kita ada beberapa lagi siri sebelum menjangkau siri ke-100 Inovasi Bersama Zull Design-Utusan.

Ramai pembaca ingin mengetahui reka cipta-reka cipta yang agak berteknologi tinggi.

Maka disebabkan itu, episod inovasi kali ini sehingga episod ke-100 akan kami paparkan mengenai PLC (Programmable Logic Controller).

Daripada mula sehingga sekarang kita telah mengetahui tentang relay (geganti), timer, transistor, kapasitor dan lain-lain lagi sistem yang telah kita pelajari sekian lama.

Boleh kita katakan semua barangan tersebut direka dan diolah kembali oleh peminat-peminat reka cipta di luar sana.

Pembaca khususnya peminat inovasi telah pun mereka cipta pelbagai rekaan, saya pasti mereka menghadapi pelbagai kesulitan dan kerumitan dalam mereka cipta barangan -barangan rekaan tersebut.

Tahukah anda semua barangan yang disebutkan tadi berada dalam satu komponen yang dinamakan PLC.

PLC ini sebenarnya boleh diprogramkan mengikut kehendak pengguna. Sebagai contoh, kita boleh memprogramkan suis yang mana hendak menghidupkan alat yang mana.

Jika suis 'A' menghidupkan lampu, keesokan hari kita boleh menukar suis 'A' tadi untuk menghidupkan televisyen pula.

Kita juga boleh memprogramkan apabila malam, lampu akan menyala dengan sendirinya. Dan apabila tengah malam, jika tiada orang di ruang tamu, televisyen akan terpadam dengan sendiri.

Kesemua ini boleh diprogramkan dengan menggunakan PLC. PLC terdiri daripada pelbagai saiz dan bentuk. PLC juga ada yang pandai ,ada yang pintar dan ada yang hanya boleh bekerja sahaja.

Seperti akal manusia juga, tertakluk kepada harga PLC tersebut. Sila rujuk gambar rajah PLC seperti yang tertera.

Bersambung di minggu hadapan dengan siri Sistem PLC.

Sebarang pertanyaan boleh emel kepada mail@zulldesign.com.my.

08 July 2011

Harga emas RM202.57 segram

Permintaan kukuh pengguna serta pelabur global menjelang 2014

HARGA emas dijangka meneruskan aliran meningkatnya sehingga mencecah AS$2,100 seaun atau AS$67.5 (RM202.57) segram menjelang 2014, meningkat 33 peratus berbanding harga semasa AS$1,527.2 (RM) atau AS$49.1 (RM147.32) segram susulan permintaan kukuh pengguna serta pelabur global.

Ketua Strategi Pelaburan Standard Chartered Bank (Stanchart), Steve Brice, berkata menjelang awal tahun depan, harga emas dijangka meningkat melepasi paras AS$1,600 seaun atau AS$51.4 (RM157.34) segram, 4.3 peratus lebih tinggi berbanding harga semasa.

Brice menjelaskan, terdapat kaitan ketara antara pendapatan isi rumah di China dan India dengan harga emas berikutan peningkatan pendapatan boleh guna di dua negara pembeli emas utama dunia itu yang mana akan menggalakkan permintaan logam berharga berkenaan.

Kumpulan perbankan universal yang memiliki lebih 1,700 cawangan di seluruh dunia itu, menjangkakan ekonomi China dan India akan terus mencatatkan pertumbuhan mantap, sekali gus melonjakkan pendapatan boleh guna rakyat di negara berkenaan.

“Permintaan emas dijangka terus meningkat kerana pelabur melihat komoditi itu sebagai pelaburan lindung nilai,” katanya pada taklimat media mengenai jangkaan pelaburan pada separuh kedua tahun ini di Kuala Lumpur semalam.

Selain itu, Brice berkata, kebimbangan terhadap pemulihan ekonomi Amerika Syarikat (AS) juga menyebabkan bank pusat di seluruh dunia meningkatkan rizab emas masing-masing, justeru menyokong harga komoditi itu terus didagangkan pada harga tinggi.

Sementara itu, tambah beliau, keadaan kadar faedah benar yang masih negatif di AS menawarkan persekitaran yang baik untuk emas.
“Sejarah membuktikan pulangan dalam pelaburan emas sangat tinggi ketika kadar faedah sebenar adalah negatif,” katanya.


Bekalan emas juga, katanya, dijangka mengalami kekangan dalam tempoh terdekat dan ia akan terus menyokong kenaikan harga komoditi itu.

“Kita jangkakan harga emas akan mencecah AS$2,100 pada 2014 dan AS$1,600 pada suku pertama 2012,” katanya.

Pada suku keempat tahun lalu, permintaan barang kemas di India dan China masing-masing meningkat sebanyak 52.8 peratus dan 31.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Secara keseluruhan, permintaan barangan perhiasan emas global meningkat 8.5 peratus pada suku keempat lalu atau 575.2 tan berbanding tahun sebelumnya.

Pada akhir tahun lalu(dis 2010), harga emas ditutup pada AS$1,421.40 seauns, naik kira-kira 31 peratus berbanding 2009 didorong permintaan berterusan dari China dan jangkaan spekulator bahawa mereka akan meraih untung lebih daripadanya.

Mengenai pasaran saham Malaysia, Brice berkata, pihaknya amat positif dengan prestasi saham tempatan dalam tempoh terdekat kerana kebiasaannya pasaran saham akan mencatatkan prestasi yang baik pada Julai dan Ogos.

Beliau berkata, dengan jangkaan bahawa ekonomi global akan mencatatkan pemulihan pada separuh kedua tahun ini akan menyokong prestasi pasaran saham.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/HargaemasRM202_57segram/Article/index_html


Ulasan Pasaran: Bursa ditutup bercampur-campur

2011/07/08

Pasaran alami pembetul teknikal di tengah dagangan runcit bergiliran

BURSA Malaysia ditutup bercampur-campur semalam berikutan aktiviti pengambilan untung walau pun mencatatkan paras tertinggi harian yang baru pada awal dagangan, kata penganalisis.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia (FBM) Composite Index turun 1.1 mata kepada 1,590.24.
Ia dibuka meningkat 2.31 mata kepada 1,594.13, yang satu ketinggian baru. Indeks itu mencecah rekod 1,595.87, yang meningkat 4.53 mata berikutan belian berterusan lapan minit kemudian.

Penganalisis itu berkata, pasaran tidak dapat mengekalkan momentum positifnya apabila aktiviti pengambilan untung mulai menyerap masuk di kalangan saham berwajaran tinggi utama.

“Pasaran mengalami pembetulan teknikal di tengah dagangan runcit bergiliran yang sihat di kalangan saham murah dan berwajaran tinggi," kata penganalisis itu.

OSK Research berkata tinjauan teknikal jangka dekat pasaran akan kekal meningkat dengan kukuh.
Katanya paras psikologi 1,600 mata merupakan satu-satunya halangan yang masih ada yang boleh dikesan dari paras semasa.

“Lihatlah sokongan segera pada paras 1,579 mata diikuti dengan paras 1,577 dan 1,565," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Indeks Kewangan meningkat 34.699 mata kepada 15,027.52.

Indeks Perladangan turun 13.91 mata kepada 7,913.71 dan Indeks Perusahaan turun 4.99 mata kepada 2,857.9.

Indeks FBM Emas rugi 3.48 mata kepada 10,920.15 dan FBMT100 rugi 5.25 mata kepada 10,690.56.

Indeks FBM Ace menokok 2.44 mata kepada 4,166.67.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 368 kepada 355 manakala 355 kaunter ditutup tidak berubah dan 400 yang lain tidak diniagakan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 1.27 bilion saham bernilai RM2.07 bilion daripada 1.11 bilion saham bernilai RM2.15 bilion kelmarin.

MSM-CA yang diniagakan secara aktif meningkat 6.0 sen kepada 45 sen, Time Engineering menokok 2.0 sen kepada 18.5 sen, Time DotCom meningkat 4.5 sen kepada 74 sen dan MBSB-CA tidak berubah pada 12 sen.

Antara saham untung yang utama, Dutch Lady meningkat 74 sen kepada RM19.54, DiGi.Com menokok 20 sen kepada RM29.96, Alliance Financial meningkat 19 sen kepada RM3.62, APM Automotive meningkat 16 sen kepada RM5.03 dan Malayan Flour Mills naik 15 sen kepada RM8.41.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank menokok 2.0 sen kepada RM8.97, CIMB meningkat 1.0 sen kepada RM8.90, Petronas Chemical tidak berubah pada harga RM7.19, Sime Darby meningkat 3.0 sen kepada RM9.23 dan Axiata turun 2.0 sen kepada RM5.02.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 876.82 juta saham bernilai RM1.97 bilion daripada 857.397 juta saham bernilai RM2.09 bilion yang diniagakan kelmarin.

Perolehan di Pasaran ACE meningkat kepada 111.88 juta unit bernilai RM17.795 juta daripada 77.99 juta unit bernilai RM12.18 juta, yang dicatatkan sebelum ini.

Waran meningkat kepada 279.887 juta saham bernilai RM76.353 juta daripada 175.99 juta saham bernilai RM48.14 juta, yang dicatatkan kelmarin.

Produk pengguna mencatatkan 64.83 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perusahaan 116.95 juta, pembinaan 86.4 juta, dagang dan perkhidmatan 280.74 juta, teknologi 8.62 juta, prasarana 42.65 juta, kewangan 142.25 juta, hotel 2.45, hartanah 108.33 juta, perladangan 20.68 juta, perlombongan 48,500, REIT 2.74 juta dan tertutup/dana 129,500.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/UlasanPasaran_Bursaditutupbercampur-campur/Article/index_html