16 July 2011

Disambar petir ketika guna telefon bimbit


IZZAN Nuqry Muhamad yang cedera parah akibat disambar petir dibawa ke Hospital Umum Sarawak, Kuching untuk mendapatkan rawatan lanjut, semalam. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN


KUCHING 15 Julai - Kelekaan seorang remaja berbual menerusi telefon bimbit ketika cuaca buruk di kawasan terbuka mengundang padah apabila dia disambar petir petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, Izzan Nuqry Muhamad Yaakub, 18, pengsan di tempat kejadian dengan kesan luka dan melecur di beberapa bahagian badan termasuk tangan dan telinga kiri.

Menurut saksi, mangsa dikatakan sedang membersihkan dinding di luar surau Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang di sini sambil menjawab panggilan telefon menggunakan alat bebas tangan.

"Sebaik sahaja petir menyambar, Izzan Nuqry terus rebah dan tidak sedarkan diri. Beberapa orang rakan yang melihat kejadian itu bergegas membawanya ke HUS (Hospital Umum Sarawak)," katanya di sini, hari ini.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika hujan lebat yang disertai dengan petir sejak pukul 5 petang.

Keadaan remaja itu kini dilaporkan stabil walaupun masih berada dalam keadaan terkejut.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_15.htm

No comments:

Post a Comment