18 July 2011

UiTM cipta teknik penghasilan damar gaharu bermutu tinggi

SHAH ALAM 12 Jan. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) maju setapak lagi dalam dunia penyelidikan apabila berjaya mencipta teknik perangsang pertumbuhan pokok gaharu dan penghasilan damar yang bermutu tinggi.

Hasil penyelidikan selama setahun yang diketuai oleh Timbalan Dekan Fakulti Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM, Prof. Dr. Ku Halim Ku Hamid antara lainnya mampu menghasilkan lebih banyak pati minyak gaharu berkualiti tinggi.

Kejayaan itu mendapat pengiktirafan Southern Farm Valley Johore Sdn. Bhd. apabila firma itu memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan UiTM hari ini untuk mengeluarkan dan memasarkan produk tersebut di dalam dan luar negara.

Ku Halim ketika ditemui selepas majlis itu yakin produk berkenaan mampu memberi pulangan hasil jualan lebih RM300,000 sebulan kepada syarikat terbabit.

"Walaupun hanya menggunakan laman web interaksi sosial seperti Facebook sebagai medium promosi, ia tetap menerima permintaan tinggi dari beberapa negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia.

"Malah di Asia Barat yang terkenal dengan industri minyak gaharu turut menyatakan minat untuk mendapatkan produk tersebut," katanya.

Menurut Ku Halim, pihaknya merancang mengeluarkan lebih banyak produk berasaskan damar pokok gaharu.

"Kami sedang melakukan penyelidikan untuk menghasilkan produk kosmetik menggunakan damar pokok gaharu menjelang pertengahan tahun depan," katanya.

http://www.utusanonline.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sains_%26_Teknologi&pg=st_01.htm

No comments:

Post a Comment