15 July 2011

Suis pintar PLC

KINI kita telah pun hampir memasuki peringkat terakhir asas kreativiti dan inovasi. Alhamdulilah ramai peminat menceburkan diri dalam reka cipta kerana kita telah menerima beratus e-mel setiap minggu.

Tahniah kepada pembaca-pembaca yang mengikuti siri inovasi bersama MEGA-Utusan Malaysia.

Kali ini kita ada beberapa lagi siri sebelum menjangkau siri ke-100 Inovasi Bersama Zull Design-Utusan.

Ramai pembaca ingin mengetahui reka cipta-reka cipta yang agak berteknologi tinggi.

Maka disebabkan itu, episod inovasi kali ini sehingga episod ke-100 akan kami paparkan mengenai PLC (Programmable Logic Controller).

Daripada mula sehingga sekarang kita telah mengetahui tentang relay (geganti), timer, transistor, kapasitor dan lain-lain lagi sistem yang telah kita pelajari sekian lama.

Boleh kita katakan semua barangan tersebut direka dan diolah kembali oleh peminat-peminat reka cipta di luar sana.

Pembaca khususnya peminat inovasi telah pun mereka cipta pelbagai rekaan, saya pasti mereka menghadapi pelbagai kesulitan dan kerumitan dalam mereka cipta barangan -barangan rekaan tersebut.

Tahukah anda semua barangan yang disebutkan tadi berada dalam satu komponen yang dinamakan PLC.

PLC ini sebenarnya boleh diprogramkan mengikut kehendak pengguna. Sebagai contoh, kita boleh memprogramkan suis yang mana hendak menghidupkan alat yang mana.

Jika suis 'A' menghidupkan lampu, keesokan hari kita boleh menukar suis 'A' tadi untuk menghidupkan televisyen pula.

Kita juga boleh memprogramkan apabila malam, lampu akan menyala dengan sendirinya. Dan apabila tengah malam, jika tiada orang di ruang tamu, televisyen akan terpadam dengan sendiri.

Kesemua ini boleh diprogramkan dengan menggunakan PLC. PLC terdiri daripada pelbagai saiz dan bentuk. PLC juga ada yang pandai ,ada yang pintar dan ada yang hanya boleh bekerja sahaja.

Seperti akal manusia juga, tertakluk kepada harga PLC tersebut. Sila rujuk gambar rajah PLC seperti yang tertera.

Bersambung di minggu hadapan dengan siri Sistem PLC.

Sebarang pertanyaan boleh emel kepada mail@zulldesign.com.my.

No comments:

Post a Comment