04 June 2011

TV AlHijrah di Astro mulai 1 jun 2011

TV AlHijrah mula bersiaran di saluran 114 Astro hari ini, sekali gus melengkapkan statusnya sebagai stesen televisyen nasional yang siarannya boleh diterima di seluruh negara melalui platform satelit.

Sebelum ini, melalui platform bebas siar, TV AlHijrah sudah pun menemui penonton sejak 1 November tahun lalu di Lembah Kelang, Terengganu, Pahang, Utara Johor, Sabah dan Sarawak.

Sempena pelancarannya hari ini, TV AlHijrah menawarkan peningkatan durasi siaran sebanyak 30 peratus dari 72 jam seminggu menjadi 100 jam seminggu.

Kalau dahulu siaran TV AlHijrah bermula pukul 3 petang setiap Isnin hingga Khamis, mulai hari ini, waktu siaran akan bermula pada pukul 12 tengahari hingga 12 tengah malam.

Apa yang lebih menarik, siaran hujung minggu iaitu pada hari Jumaat hingga Ahad, akan bermula pada pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam.

Selain peningkatan waktu siaran, sepanjang Jun ini, TV AlHijrah menawarkan pelbagai pakej program baru bagi melengkapkan lagi kempen Wajah-Wajah Islam sempena kehadiran saluran TV tersebut di Astro.

Untuk memastikan penonton dapat menikmati semua bentuk program televisyen melalui pendekatan Islam, TV AlHijrah menggunakan pendekatan pengisian menerusi kempen berkenaan.

Program paling menarik ialah Madrasah AlHijrah, berdurasi selama dua jam pada hujung minggu ini yang mana, ia akan membawa kelas pengajian ilmu ke versi televisyen.

Madrasah AlHijrah adalah usaha stesen ini untuk menjadikan budaya pengajian ilmu berasaskan kitab yang selama ini dikenali sebagai kelas pengajian di surau atau masjid, atau dianggap sebagai pengajian pondok dalam definisi tradisonal, dapat dinikmati di televisyen.

Empat ilmu utama Islam iaitu akhlak, akidah, syariah dan al-Quran melalui pengajian kitab yang dikendali ustaz-ustaz pilihan, akan membantu penonton mendalami ilmu agama melalui televisyen. Usaha ini bagi meningkatkan lagi penguasaan asas agama di kalangan umat Islam.

Bagi peminat program hiburan pula, Studio Muallaf & Friends (SMF) pastinya menjadi daya penarik.

Program hiburan bual bicara yang berkonsepkan drama studio ini akan menampilkan enam penghibur mualaf yang menjadikan aktiviti seni dan hiburan sebagai alat untuk berdakwah.

Dengan elemen Sejuta Wajah Satu Akidah, berdasarkan enam hos pelbagai keturunan, SMF berlatarbelakangkan Cina, India, Baba Nyonya, Kadazan dan Dusun ini, program berdurasi sejam ini akan melengkapkan Wajah-Wajah Islam yang menjadi tema utama Jun ini.

Tidak cukup dengan elemen pelbagai wajah itu, TV AlHijrah turut melangkau batas serantau dengan menyiarkan drama Kitab Cinta yang menyatukan pelakon Malaysia dan Indonesia dengan latar penceritaan serantau.

Drama 13 episod ini berlatarbelakangkan kehidupan pasca tragedi tsunami di Aceh, Indonesia.

Keseluruhannya, TV AlHijrah memberikan satu pilihan kepada penonton yang mencari program-program yang dapat membina akal setelah sekian banyak program hiburan dalam dan luar negara.

Pengaruh televisyen sebagai pengatur menu sosial masyarakat di dunia termasuk negara ini tidak boleh dinafikan lagi. Dalam konteks tempatan, stesen TV AlHijrah menjadi pemain baru dengan menawarkan sajian-sajian yang boleh mempertajamkan kesejahteraan akal tanpa menolak tuntutan komersialisme.

No comments:

Post a Comment