|
|
MELAKA 31 Mei - Jabatan Pengajian Politeknik menyasarkan 50 hingga 60 peratus peluang pekerjaan dalam sektor teknikal dan vokasional di negara ini dikuasai oleh graduan dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu.
Timbalan Pengarahnya, Datuk Mohlis Jaafar berkata, sasaran itu tidak mustahil kerana setiap tahun politeknik mengeluarkan kira-kira 40,000 graduan.
"Seiring dengan pembangunan negara, peluang pekerjaan dalam sektor teknikal dan vokasional terbuka luas dan politeknik menyediakan graduan yang berkualiti bagi mengisi kekosongan dalam sektor berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Mari Kenali Politeknik dan Karnival Jom Gempau Melaka 2011 di Stadium Hang Jebat, baru-baru ini.
Menurutnya, graduan politeknik bukan sahaja dibekalkan dengan ilmu pengetahuan malah mempunyai kemahiran tinggi yang dilihat mampu memenuhi pasaran kerja dalam bidang teknikal dan vokasional yang semakin meluas di negara ini.
Katanya, politeknik kini mempunyai kira-kira 90,000 penuntut di seluruh negara dan berharap bilangan itu dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Beliau menyarankan penuntut politeknik agar melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan supaya dapat mendidik serta melatih mereka meningkatkan keyakinan diri yang menjadi nilai tambah untuk melangkah ke alam pekerjaan kelak.
"Sehubungan itu juga, saya menyarankan supaya aktiviti tanggungjawab sosial melibatkan penuntut politeknik diperbanyakkan bagi kesinambungan pembinaan sebuah peradaban bangsa moden," katanya.
No comments:
Post a Comment