04 June 2011

Propertime sasar edar jam al-Asr

KUALA LUMPUR 3 Jun - Pengeluar jam digital waktu solat, Propertime Sdn. Bhd. (Propertime) menyasarkan untuk mengedar 500 lagi buah jam digital ke masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negara di bawah skim wakaf pada tahun ini.

Pengarah Pemasaran Propertime, Mohd. Nadzir Omar berkata, syarikat itu telah menjalin kerjasama dengan Koperasi Muslimin Malaysia Bhd. (Koperasi Muslimin) bagi melaksanakan skim wakaf tersebut sejak Ogos 2010.

"Setakat ini syarikat telah berjaya mengedar 45 unit jam digital di bawah skim itu, bernilai RM60,000 sejak menjalin kerjasama tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Koperasi Muslimin dengan Koperasi Utusan Melayu Malaysia Bhd. (KUMMB) di sini hari ini.

Pada MoU itu Pengerusi Biro Pembangunan Perniagaan KUMMB, Azhar Mogo menandatangani bagi pihak KUMMB manakala Koperasi Muslimin diwakili Pengurus Kewangannya Abdul Rahman Surati.

Mohd. Nadzir berkata, Propertime yang ditubuhkan pada 1997 mengeluarkan pelbagai jenis jam digital al-Asr yang mempunyai ciri-ciri penetapan waktu solat mengikut waktu zon yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri.

Selain itu, jam digital itu turut mengeluarkan bunyi azan apabila masuk waktu solat untuk keperluan umat Islam dan surau serta masjid.

Mohd. Nadzir berkata, jam digital di bawah skim wakaf itu bertujuan menggantikan papan solat manual yang digunakan sekarang di kebanyakan surau dan masjid bagi membawa imej baru kepada institusi masjid dan surau.

Ujarnya, sumbangan berbentuk kewangan akan ditukar kepada produk jam digital waktu solat al-Asr dan penerima ditentukan oleh para penyumbang wakaf.

"Penyumbang diberi pengecualian cukai pendapatan ke atas jumlah sumbangan wakaf yang dilakukan," katanya.

Dalam skim wakaf itu, harga jam itu bernilai dari RM450 sehingga RM2,500 seunit dan terdapat lima model jam yang ditawarkan.

Pada masa sama, Propertime juga menandatangani MoU dengan KUMMB bagi mengedar jam tersebut kepada orang ramai.

Mereka yang berminat menyertai skim wakaf itu atau membeli jam digital untuk keperluan sendiri boleh menghubungi Setiausaha KUMMB, Mohd. Khuzairi Ismail di talian 03-92217055 atau melayari laman sesawang Koperasi Muslimin di www.koperasimuslimin.com.my atau menghubungi Azhar melalui 019-3338855.

Propertime mempunyai kilang pengeluaran di Lunas, Kedah dan mampu mengeluarkan pelbagai jenis jam digital al-Asr untuk keperluan di rumah, pejabat, surau dan masjid. Kuantiti pengeluarannya sebanyak 150 hingga 200 unit jam setiap bulan

Sehingga kini, sebanyak 1,500 buah jam daripada pelbagai model telah terjual.

Katanya, Propertime juga mempunyai rakan niaga di Indonesia bagi memasarkan jam tersebut di sana dan berhasrat untuk memecah masuk ke pasaran negara Islam lain pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment