30 March 2012

Pengudaraan pintar dalam kenderaan


Mohd. Yusof Taib menunjukkan mekanisme produk inovasi Pengudaraan Kenderaan Pintar dan Sistem Pengekstrakan Kepanasan ciptaannya.


ANDA mungkin pernah merasai keadaan suhu sangat panas di dalam kenderaan selepas meninggalkannya untuk tempoh yang lama di bawah sinaran matahari.

Kajian menunjukkan suhu tersebut sebenarnya boleh mencecah sehingga 70 darjah Celsius selepas kenderaan dibiarkan berada di bawah pancaran suria dengan purata suhu 32 darjah Celsius.

Sehingga kini, tiada penyelesaian aktif dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut sebaliknya kebanyakan pengguna hanya memasang lapisan filem ultra violet pada cermin kenderaan mereka sebagai pendekatan mengurangkan fenomena itu.

Melihat permasalahan itu, seorang penyelidik dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), Mohd. Yusof Taib, telah mencipta produk inovasi dikenali sebagai Pengudaraan Kenderaan Pintar dan Sistem Pengekstrakan Kepanasan.

Beliau yang juga pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UMP memberitahu, produk tersebut mengaplikasikan konsep asas pengudaraan dan pengaliran bendalir.

Penyelidikan produk itu telah bermula sejak pertengahan tahun 2009 melibatkan operasi mereka bentuk dan menghasilkan komponen-komponen sokongan.

Selama 18 bulan tempoh pembangunan, produk berkenaan akhirnya siap di pasang pada sebuah kereta Proton Waja untuk tujuan pengujian.

Hasil ujian telah mencatatkan pengurangan suhu sehingga 25 darjah Celsius berbanding 70 darjah Celsius.

Keadaan tersebut tidak melibatkan implementasi sistem berkenaan dengan penetapan suhu unit kawalan pada 40 darjah Celcius dan suhu sekitar 32 darjah Celsius.

Melihat kepada mekanisme lengkap sistem itu, ia dibahagikan kepada empat komponen operasi iaitu unit kawalan utama, kipas penyedut dan saluran, suis serta unit penghembus penyaman udara sedia ada di dalam kenderaan.

Unit kawalan utama merupakan bahagian pintar yang akan mengesan suhu panas di dalam kenderaan kesan sinaran cahaya matahari.

Pengguna boleh menetapkan sendiri aras suhu pada unit kawalan utama sebagai memberi isyarat kepada kipas penyedut untuk berfungsi apabila mencapai suhu tersebut.

Pada sistem ini, terdapat dua unit kipas penyedut yang dipasang pada papan pemuka belakang (rear dashboard) bertujuan menyedut keluar udara panas dari ruang penumpang kenderaan.

Sistem akan memanfaatkan penghembus (blower) sedia ada dengan mod tombol pengudaraan perlu dialihkan kepada pilihan udara segar selain suis penghembus penyaman udara harus diletakkan pada mod on.

Dengan itu, penghembus penyaman udara akan berfungsi memberi pengudaraan di samping kipas penyedut akan mengeluarkan udara panas secara serentak.

Daripada segi pengubahsuaian suis pula, ia perlu dilakukan dengan membina terminal baru untuk menyambungkan kuasa bateri kepada unit kawalan utama, kipas penyedut dan penghembus penyaman udara apabila enjin kenderaan dimatikan.

Bateri yang berasingan harus digunakan untuk menyokong operasi sistem supaya tidak mengganggu bateri sedia ada.

Untuk perancangan masa hadapan, hasil penyelidikan tersebut akan ditambah baik menerusi sokongan punca kuasa solar bagi menggantikan bateri.

Teknologi solar itu bakal memberi kelebihan bekalan kuasa tidak terbatas kepada sistem dan pengguna tidak perlu mengecas semula bateri yang telah dipakai.

Selain itu, pihak penyelidik di UMP turut bercadang mengaplikasikan teknologi pintar tersebut pada mana-mana bilik kawalan yang mementingkan kualiti pengudaraan pada tahap suhu tertentu.

Produk Pengudaraan Kenderaan Pintar dan Sistem Pengekstrakan Kepanasan telah menerima banyak pengiktirafan.

Antaranya, pingat emas pada Pameran Antarabangsa Inovasi dan Ciptaan Ibn Al-Haytham Al-Manazir (InEx 2011), pingat gangsa pada acara Pameran Rekaan, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2011 di samping pingat perak pada acara dalaman UMP iaitu Pameran Penciptaan, Inovasi, Teknologi dan Kajian 2011.

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. salam, mengapa tiada gambar komponen projek?boleh saya dptkan nya?

    ReplyDelete