04 March 2012

FAMA sasar 21,000 siswazah sertai MyAgrosis tahun hadapan

28 Feb. - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan lebih 21,000 siswazah dari 21 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara menyertai Kelab Usahawan Siswazah Tani (MyAgrosis) tahun depan.

Pengerusi FAMA, Datuk Badruddin Amiruldin berkata, buat masa ini hanya 480 siswazah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah menyertai kelab tersebut dan usaha sedang digiatkan untuk menarik lebih banyak penyertaan.

Katanya, FAMA yakin mampu memenuhi sasaran tersebut berdasarkan maklum balas positif semasa sesi penerangan MyAgrosis di IPTA di seluruh negara.

"Sudah pastilah angka ini boleh membentuk satu kuasa ekonomi yang bakal meningkatkan pengeluaran pertanian dalam negara dan mengurangkan import makanan dari luar negara.

"Fenomena ini boleh membentuk komuniti usahawan siswazah komersial dan dinamik, namun janganlah angka tinggal angka sahaja,'' katanya yang yakin perancangan komprehensif dan sokongan agensi serta jabatan kerajaan dapat menjayakan hasrat muri itu.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian bengkel taklimat pelaksanaan program MyAgrosis antara jabatan dan agensi kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan IPTA di sini, hari ini.

Menurut Badruddin, kerajaan telah mengumumkan insentif RM30 juta untuk meningkatkan lagi penyertaan golongan siswazah dalam bidang pertanian iaitu tambahan daripada peruntukan yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2012 untuk membangunkan sektor pertanian negara.

"Peruntukan terbabit juga merupakan sokongan penuh kerajaan terhadap penubuhan MyAgrosis yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Saya percaya siswazah bijak mengenal pasti peluang-peluang dalam pertumbuhan ekonomi negara dengan adanya peruntukan dan sokongan penuh daripada kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, FAMA amat mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama antara kementerian-kementerian dalam usaha menyuntik minat generasi muda terhadap sektor pertanian.

"Tentu sekali sektor pertanian amat penting bagi kestabilan negara dan pada masa sama merupakan bidang yang menjana pekerjaan kepada graduan IPTA serta peluang bagi mereka menjalankan aktiviti keusahawanan berasaskan pertanian," katanya.


sumber: utusan malaysia

No comments:

Post a Comment