SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Penggawa Barat, Johor berjaya mengekal kejuaraan dalam Pertandingan Kuiz Pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk kali keempat berturut-turut.
Guru pengiringnya, Norizah Abd. Karim berkata, mereka berasa gembira dan sangat bangga dengan kejayaan yang diperoleh pada pertandingan peringkat kebangsaan sejak 2008.
"Kesungguhan para peserta dan usaha gigih mereka dalam memperbanyakkan ulang kaji dan membaca buku-buku berkaitan pelaburan merupakan antara faktor kejayaan pada pertandingan ini.
"Selain itu, peserta juga mempunyai keberanian yang tinggi dalam membuat keputusan serta mampu bekerjasama dengan baik dalam menyelesaikan sesuatu masalah," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan tersebut di Putrajaya, baru-baru ini.
Sekolah ini diwakili oleh tiga pelajar tingkatan lima iaitu Muhammad Iqmal A. Manap, Siti Nursyahira Ismail dan Ummi Hasanah Abu Hasan.
Majlis disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Kemenangan tersebut melayakkan sekolah berkenaan membawa pulang hadiah berupa unit Amanah Saham Gemilang - Pendidikan (ASG-Pendidikan) bernilai RM8,000, piala pusingan dan piala iringan.
Naib johan pertandingan itu pula disandang oleh SMK St. Mary, Kuala Lumpur dan SMK Hwa Lian, Pahang di tempat ketiga. Masing-masing membawa pulang unit ASG-Pendidikan bernilai RM5,000 dan RM3,000 serta piala iringan.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_02.htm
No comments:
Post a Comment