SEBAIK mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Thailand, para peserta di bawa menginap di sebuah hotel di tengah-tengah kotaraya Bangkok.
Sepanjang tujuh hari di Thailand, para peserta telah di bawa melawat ke 10 lokasi projek pertanian dan penternakan berimpak tinggi.
Hari pertama program Agrochallenge Antarabangsa Thailand 2011 menyaksikan mereka di bawa melawat ke tapak Projek Diraja Thailand Chitralada.
Di sana, peserta-peserta dapat melihat sendiri pameran model pertanian sebenar melibatkan keseluruhan rantaian nilai yang dijalankan secara separa komersial.
Ia merangkumi projek pertanian, penternakan, tenusu, penghasilan produk kesihatan, tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran serta kraftangan.
Program hari kedua diteruskan dengan mengunjungi Pameran Makanan Antarabangsa Thailand (Thaifex) bertempat di Pusat Dagangan Impact Challenger, Bangkok.
Sepanjang lawatan ke pameran makanan terbesar di Asia Tenggara itu, para peserta dapat melihat dan mendekati para penggiat industri makanan global.
Selesai sesi lawatan, peserta-peserta dibawa ke sebuah lokasi pinggir bandar di Pak Chong untuk bermalam di Khao Yai Resort selama dua hari bagi tujuan lawatan ke kawasan sekitarnya.
Jadual hari ketiga dimulakan dengan kunjungan ke pusat pemprosesan ayam Saha Farm di sebuah kawasan bernama Petchabun.
Di sana, para peserta dibawa melihat kilang pemprosesan ayam mentah yang mampu mengeluarkan sebanyak satu juta ekor sehari untuk pasaran di banyak negara termasuk Malaysia.
Pada sebelah petang pula, sesi kembara diteruskan ke pusat perusahaan akuakultur.
Terus ceria di hari keempat, para peserta tidak sabar menyambung kembara tani mereka ke Ladang Ternakan Lembu Tenusu Chok Chai di Pak Chong, Nokhon Ratchasima.
Selama setengah hari di sana, para peserta dibawa melihat bagaimana proses perahan susu lembu menggunakan mesin dijalankan, melawat lokasi agro pelancongan seperti perkampungan koboi dan aktiviti perkemahan mewah.
Sebelum mengakhir lawatan di Nokhon Ratchasima, para peserta dibawa singgah ke Rumah Hijau Thitawan untuk melihat projek tanaman sayur-sayuran.
Rombongan Agrochallenge Antarabangsa Thailand 2011 kemudiannya kembali ke bangkok untuk meneruskan penjelajahan yang berbaki tiga hari lagi.
Hari kelima, kesemua peserta bertolak ke Perkampungan Islam Nong Chok di Bangkok untuk melawat projek tanaman padi tiga kali setahun sebelum bermesra dengan penduduk kampung dan makan tengahari bersama.
Aktiviti sebelah petang disambung dengan berkunjung ke ladang buah-buahan dan ladang orkid terkenal di Ban Pheaw, Bangkok.
Sepanjang hari keenam pula, para peserta diberi peluang membeli-belah pelbagai barangan kraf, keperluan rumah, pakaian dan perabot di pusat borong terkenal di Bobey dan juga Chatuchak di Bangkok.
Pada sebelah malam, para peserta meluangkan masa menyertai Majlis Makan Malam Agrochallenge Antarabangsa Thailand 2011 bersama Duta Malaysia di Bangkok, Datuk Nazirah Hussain bertempat di Kedutaan Besar Malaysia, Bangkok.
Pada majlis itu juga, para peserta telah memeterai perjanjian persefahaman dan kerjasama dengan peladang serta syarikat-syarikat pertanian di Thailand.
Kesemua peserta turut menerima sijil penyertaan Agrochallenge Antarabangsa Thailand 2011.http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Agrobiz&pg=ag_06.htm
No comments:
Post a Comment