06 August 2011

tanda-tanda kemelesetan ekonomi

5 Ogos 2011- Ekonomi di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah kini semakin membimbangkan, sekali gus memerlukan Malaysia memantau perkembangan negara-negara itu secara serius.

Para penganalisis ekonomi tempatan berkata, meskipun pada dasarnya ekonomi kukuh tetapi setiap kali negara-negara itu 'bersin', satu dunia akan mendapat tempiasnya.

Ketua Ekonomi Bank Islam (M) Bhd., Azrul Azwa Ahmad Tajudin berkata, situasi di negara-negara tersebut sudah pasti akan memberi kesan bukan sahaja kepada eksport tetapi juga kemasukan pelaburan langsung asing (FDI).

Menurut beliau, sebagai antara negara dagangan terbesar negara, kegawatan ekonomi AS akan menjejaskan kuasa beli di kalangan rakyat negara itu kerana jumlah pengangguran meningkat.

''Apabila ini berlaku, maka eksport negara secara tidak langsung juga terjejas.

''Begitu dengan FDI, dalam keadaan begitu kita boleh menjangkakan jumlah kemasukan pelabur asing dari AS mahupun Eropah terjejas,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejatuhan pasaran saham Asia berikutan kebimbangan keadaan ekonomi di AS dan Eropah.

Semalam, Dow Jones mencatatkan kejatuhan paling teruk iaitu 4.3 peratus dalam tempoh sehari sejak 2008.

Pada penutup urus niaga pada pukul 5 petang tadi, FTSE Bursa Malaysia Indeks Komposit Kuala Lumpur (FBM-KLCI) jatuh 22.43 mata(1.45%) kepada 1,524.43 mata.

Korea Selatan turut merekodkan kejatuhan terbesar dalam tempoh sehari sejak November 2009 apabila merudum 74.72 mata kepada 1,943.75, penurunan terendah dalam tempoh lima bulan.

Pasaran saham Hang Seng juga merosot 4.29 peratus kepada 20,946.14 mata manakala Shanghai jatuh 1.68 peratus dan Mumbai 2.71 peratus dalam dagangan sepanjang hari ini.

Menurut Pengarah Eksekutif Jupiter Sdn. Bhd., Nazarry Rosly, berdasarkan pandangan pasaran, sekiranya Dow Jones Industrial Index jatuh di bawah paras 12,000 mata, ia menunjukkan tanda-tanda kemelesetan ekonomi mungkin akan berlaku.

Malah sentimen pelabur yang mula menjual saham masing-masing menunjukkan rasa bimbang terhadap ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.

"Ini bukan bersifat sementara tetapi mungkin mengambil masa untuk pulih semula," katanya.

Bagaimanapun kata Nazarry, kekukuhan asas ekonomi Malaysia yang didorong oleh permintaan domestik dan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) akan menjadi penampan bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan ekonomi global.

"Namun ia bukan sesuatu yang mutlak kerana AS adalah rakan dagang terbesar Malaysia dan sebarang perkembangan di negara itu memberikan kesan kepada Malaysia.

"Kita bernasib baik kerana memulakan perdagangan dengan China dan India yang merupakan gergasi ekonomi dunia," katanya.

Pakar Ekonomi Kanan AmInvestment Bank Bhd., Manokaran Mottain berkata, keadaan ekonomi di AS dan Eropah telah menjadikan keadaan ekonomi dunia semakin sukar diramalkan.

Bagaimanapun, Malaysia dijangka mampu berhadapan dengan situasi semasa kerana tidak mempunyai pendedahan terus.

03 August 2011

SMK Datuk Penggawa Barat juara empat tahun berturut-turut Kuiz Pelaburan PNB

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Penggawa Barat, Johor berjaya mengekal kejuaraan dalam Pertandingan Kuiz Pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk kali keempat berturut-turut.

Guru pengiringnya, Norizah Abd. Karim berkata, mereka berasa gembira dan sangat bangga dengan kejayaan yang diperoleh pada pertandingan peringkat kebangsaan sejak 2008.

"Kesungguhan para peserta dan usaha gigih mereka dalam memperbanyakkan ulang kaji dan membaca buku-buku berkaitan pelaburan merupakan antara faktor kejayaan pada pertandingan ini.

"Selain itu, peserta juga mempunyai keberanian yang tinggi dalam membuat keputusan serta mampu bekerjasama dengan baik dalam menyelesaikan sesuatu masalah," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan tersebut di Putrajaya, baru-baru ini.

Sekolah ini diwakili oleh tiga pelajar tingkatan lima iaitu Muhammad Iqmal A. Manap, Siti Nursyahira Ismail dan Ummi Hasanah Abu Hasan.

Majlis disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Kemenangan tersebut melayakkan sekolah berkenaan membawa pulang hadiah berupa unit Amanah Saham Gemilang - Pendidikan (ASG-Pendidikan) bernilai RM8,000, piala pusingan dan piala iringan.

Naib johan pertandingan itu pula disandang oleh SMK St. Mary, Kuala Lumpur dan SMK Hwa Lian, Pahang di tempat ketiga. Masing-masing membawa pulang unit ASG-Pendidikan bernilai RM5,000 dan RM3,000 serta piala iringan.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_02.htm

Melawat 10 projek pertanian

SEBAIK mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Thailand, para peserta di bawa menginap di sebuah hotel di tengah-tengah kotaraya Bangkok.

Sepanjang tujuh hari di Thailand, para peserta telah di bawa melawat ke 10 lokasi projek pertanian dan penternakan berimpak tinggi.

Hari pertama program Agrochallenge Antarabangsa Thailand 2011 menyaksikan mereka di bawa melawat ke tapak Projek Diraja Thailand Chitralada.

Di sana, peserta-peserta dapat melihat sendiri pameran model pertanian sebenar melibatkan keseluruhan rantaian nilai yang dijalankan secara separa komersial.

Ia merangkumi projek pertanian, penternakan, tenusu, penghasilan produk kesihatan, tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran serta kraftangan.

Program hari kedua diteruskan dengan mengunjungi Pameran Makanan Antarabangsa Thailand (Thaifex) bertempat di Pusat Dagangan Impact Challenger, Bangkok.

Sepanjang lawatan ke pameran makanan terbesar di Asia Tenggara itu, para peserta dapat melihat dan mendekati para penggiat industri makanan global.

Selesai sesi lawatan, peserta-peserta dibawa ke sebuah lokasi pinggir bandar di Pak Chong untuk bermalam di Khao Yai Resort selama dua hari bagi tujuan lawatan ke kawasan sekitarnya.

Jadual hari ketiga dimulakan dengan kunjungan ke pusat pemprosesan ayam Saha Farm di sebuah kawasan bernama Petchabun.

Di sana, para peserta dibawa melihat kilang pemprosesan ayam mentah yang mampu mengeluarkan sebanyak satu juta ekor sehari untuk pasaran di banyak negara termasuk Malaysia.

Pada sebelah petang pula, sesi kembara diteruskan ke pusat perusahaan akuakultur.

Terus ceria di hari keempat, para peserta tidak sabar menyambung kembara tani mereka ke Ladang Ternakan Lembu Tenusu Chok Chai di Pak Chong, Nokhon Ratchasima.

Selama setengah hari di sana, para peserta dibawa melihat bagaimana proses perahan susu lembu menggunakan mesin dijalankan, melawat lokasi agro pelancongan seperti perkampungan koboi dan aktiviti perkemahan mewah.

Sebelum mengakhir lawatan di Nokhon Ratchasima, para peserta dibawa singgah ke Rumah Hijau Thitawan untuk melihat projek tanaman sayur-sayuran.

Rombongan Agrochallenge Antarabangsa Thailand 2011 kemudiannya kembali ke bangkok untuk meneruskan penjelajahan yang berbaki tiga hari lagi.

Hari kelima, kesemua peserta bertolak ke Perkampungan Islam Nong Chok di Bangkok untuk melawat projek tanaman padi tiga kali setahun sebelum bermesra dengan penduduk kampung dan makan tengahari bersama.

Aktiviti sebelah petang disambung dengan berkunjung ke ladang buah-buahan dan ladang orkid terkenal di Ban Pheaw, Bangkok.

Sepanjang hari keenam pula, para peserta diberi peluang membeli-belah pelbagai barangan kraf, keperluan rumah, pakaian dan perabot di pusat borong terkenal di Bobey dan juga Chatuchak di Bangkok.

Pada sebelah malam, para peserta meluangkan masa menyertai Majlis Makan Malam Agrochallenge Antarabangsa Thailand 2011 bersama Duta Malaysia di Bangkok, Datuk Nazirah Hussain bertempat di Kedutaan Besar Malaysia, Bangkok.

Pada majlis itu juga, para peserta telah memeterai perjanjian persefahaman dan kerjasama dengan peladang serta syarikat-syarikat pertanian di Thailand.

Kesemua peserta turut menerima sijil penyertaan Agrochallenge Antarabangsa Thailand 2011.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Agrobiz&pg=ag_06.htm

Ajar teknik penanaman stevia

SECARA asasnya, pokok stevia boleh dibiak menggunakan pelbagai cara iaitu melalui biji benih, pembiakan hortikultur dan sistem fertigasi.

Untuk biji benih, ia hanya perlu ditanam di dalam medium penanaman yang baik sebelum dipindahkan ke kawasan lebih luas.

Bagi hortikultur, ia merupakan kaedah pengklonan pokok yang diketahui mempunyai kandungan steviol (pemanis) tinggi sebagai induk.

Cara tersebut dijalankan menerusi pemotongan dahan yang yang ingin dibiakkan sebelum direndam dengan hormon pengakar dan seterusnya ditanam.

Dengan cara itu, penghasilan steviol daripada induk akan dapat dikekalkan pada benih pokok baru.

Sementara untuk fertigasi, ia merupakan sistem penanaman moden yang mampu menjana lebih keuntungan kepada para usahawan.

Melalui kaedah itu, ia akan membekalkan nutrien lengkap kepada pokok selain dapat dikawal mengikut pertumbuhan dan meningkatkan hasil.

Presiden Megaherbs, Dr. Zubir Yahya memberitahu, untuk setiap kursus yang dijalankan, para peserta akan diajar tentang teknik asas penanaman stevia.

‘‘Mereka akan didedahkan dengan kaedah penyediaan tanah dan batas, penanaman anak benih, penjagaan, pembajaan, kawalan perosak, penuaian dan pengeringan.

‘‘Biasanya, selepas dua minggu biji benih ditanam, anak pokok akan dipindahkan ke batas sebelum mereka diajar cara membuat tunas untuk pembiakan biji benih.

‘‘Pada peringkat ini, pengusaha perlu memberi perhatian terhadap perkembangan akar untuk memastikan pokok tumbuh dengan sihat,’’ jelasnya.

Pokok stevia akan mengambil masa selama lebih kurang tiga bulan untuk dituai.

Daun-daun yang telah kumpulkan akan dijemur di bawah cahaya matahari secara berterusan selama satu hari setengah sebelum di hantar ke kilang pemproses.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Agrobiz&pg=ag_02.htm

Korea beli emas AS$1b lindungi ekonomi

SEOUL 2 Ogos - Korea Selatan memperuntukan lebih AS$1 bilion bagi pembelian pertama emas dalam tempoh lebih sedekad ekoran ketidaktentuan pertumbuhan global dan tekanan hutang berdaulat bank-bank pusat dunia untuk mempelbagaikan rizab asingnya.

Bank of Korea berkata, pembelian terkini itu bernilai AS$1.24 bilion (RM3.596 bilion).

Pemulihan ekonomi global yang rapuh dan syarat-syarat hutang yang bahaya di Amerika Syarikat dan Eropah telah meningkatkan perlindungan selamat bagi emas sehingga mencecah rekod tertinggi pada Jumaat lalu.

Bank of Korea berkata, pihaknya telah membeli 25 tan emas sejak dua bulan lalu, meningkatkan jumlah emas yang ada kepada 39.4 tan.

Rizab mata wang seperti dolar dan euro telah mencatatkan kerugian sejak krisis kewangan global disebabkan polisi monetari yang tidak normal ekoran masalah defisit fiskal.

Data melibatkan 27 ekonomi utama daripada Bank Penyelesaian Antarabangsa menunjukkan nilai efektif penyelarasan inflasi dolar telah merosot sebanyak 10 peratus dalam tempoh dua tahun dan euro pula enam peratus, menggambarkan kenaikan dalam pusingan setiap mata wang.

Bagaimanapun, pegangan emas Korea Selatan masih terlalu kecil berbanding Bank-Bank Pusat Asia - dengan China menduduki tempat keenam, memiliki emas terbesar iaitu 1,054.1 tan pada akhir Mei lalu, menurut data Majlis Emas Dunia.

''Bank Pusat Korea Selatan agak terlewat tetapi para pelabur emas menjangka harga sokongan terus berlaku memandangkan bank-bank pusat di dunia ini masih kurang membuat pelaburan dalam emas,'' kata Ketua Asset Great Pacific Wealth Management, Sean McGillivray.

Bank of Korea berkata, ia merupakan pembelian pertama emas sejak 1997/98 untuk meningkatkan rizab asing.

Amerika Syarikat adalah negara terbesar memiliki emas dalam rizabnya iaitu 8,133.5 tan atau 74.7 peratus daripada jumlah rizab. - Reuters