SETIBA saja di ladang ternakan lembu tenusu Ladang Pa'abas di Alor Gajah Melaka, pakar lembu dari negara kecil Belanda, Jan Hulsen terus ke tempat makanan ternakan yang penuh dengan rumput dan tongkol jagung diperam.
Jan dengan selamba memasukkan tangannya ke dalam timbunan makanan ternakan yang lembap dan berbau masam.
Timbunan campuran rumput basah, jagung dan pelepah sawit menimbun di dalam sebuah kereta tolak.
Beliau hanya menggelengkan kepala melihat makanan ternakan yang mungkin tidak sesuai bagi lembu tenusu.
Setelah itu beliau ke ladang ternakan dan meninjau kawanan lembu yang sedang berehat di dalam kandang.
"Lembu yang gemar duduk dan berehat di lantai kandang biasanya mempunyai masalah atau tidak sihat.
"Sebagai penternak kita perlu memastikan ternakan sentiasa bersih, cergas dan sihat," katanya.
Warga Belanda yang lahir dan membesar dalam persekitaran ladang ternakan lembu tenusu ini amat meminati bidang ternakan.
Hulsen melanjutkan pelajaran dalam bidang sains veterinar dan berminat dalam bidang komunikasi ternakan.
Beliau menghabiskan masa tiga tahun di ladang hanya untuk mengkaji mengenai haiwan ternakan sebelum turun ke padang bagi membantu penternak dalam memantau keperluan ternakan serta isu pengurusan lain.
Baginya ternakan sentiasa 'memberitahu' keadaan mereka dan penternak yang peka akan sentiasa memantau dalam penyediaan penjagaan kesihatan, tempat tinggal serta memastikan makanan yang sihat dan mencukupi.
Konsep cow signal yang dibangunkan oleh Hulsen kini dapat membantu penternak mendapatkan maklumat serta menggunakannya bagi meningkatkan kebajikan, kesihatan dan produktiviti lembu dalam keadaan yang paling praktikal.
"Sebagai penternak kita perlu tahu bahasa ternakan dan 'berbicara' dengan mereka sebaik mungkin bagi memastikan kebajikan mereka," katanya
Bersama-sama syarikatnya Vetvice, Hulsen membangunkan konsep isyarat lembu dan menulis beberapa siri buku cow signal meliputi penjagaan kaki, kesuburan serta pembiakan.
Vetvice menceburkan diri dalam memberikan sesi ceramah dan latihan secara aktif di lebih 30 buah negara seluruh dunia yang mempunyai ladang ternakan.
Siri bukunya Pertanian Masa Depan melangkaui apa yang diperlukan oleh ternakan dan memberi penekanan mengenai pengurusan ternakan terutama dalam ladang ternakan lembu tenusu.
Hulsen ke negara ini atas jemputan syarikat pengeluar produk tenusu terkemuka negara Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLM) bagi meninjau perkembangan sekali gus meningkatkan industri ternakan lembu tenusu.
Antara ladang yang dilawatinya ialah Ladang Lembu Air Pa'abas, Alor Gajah, Melaka, Macres Sdn. Bhd., Ladang Lembu Jaswan dan Ladang Lembu Diverse Quest di Kluang, Johor.
sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Agrobiz&pg=ag_01.htm