Selain menjadi satu industri yang menguntungkan, perniagaan sarang burung walit di Pulau Mutiara juga merupakan satu produk pelancongan.
Kemusnahan yang berleluasa pada habitat semulajadi burung itu telah memaksa ia mencari habitat baru yang lebih selamat di bangunan-bangunan konkrit yang terletak di kawasan bandar.
Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, kumpulan burung-burung itu telah mempunyai tempat perlindungan di kawasan bandar yang terdiri dari rumah-rumah burung konkrit yang dibina pengusaha industri sarang burung berkenaan.
Di tengah-tengah Georgetown, bandar yang diisytihar mempunyai Tapak Warisan Dunia oleh Unesco, AeroBio (M) Sdn. Bhd. telah membina satu pusat sehenti di Jalan Pasar bagi mempamerkan perusahaan sarang burung walit.
Menurut N.S.Yong, Penasihat Perniagaan Strategik dan Perancangan Korporat syarikat tersebut, pusat berkenaan terletak di kawasan zon warisan di Georgetown, Pulau Pinang .
Pusat tersebut mempunyai kemudahan membersih serta memproses sarang burung selain kedai yang menjual barangan dan produk sarang burung dan kafeteria yang menawarkan minuman sarang burung.
"Di pusat ini pengunjung akan diberi maklumat, antara lain tentang penternakan burung walit serta pembersihan sarang burung," Yong memberitahu Bernama yang berkunjung ke pusat tersebut.
Di pusat AeroBio ini, burung-burung walit akan muncul dan membuat sarang burung dengan kerelaan sendiri kerana pusat itu tidak menggunakan sistem bunyi yang biasa digunakan rumah burung yang lain bagi menarik perhatian burung-burung itu.
"Kami hanya menyediakan satu suasana yang punya lebih kelembapan serta kemalapan yang sesuai bagi burung walit menyediakan sarang mereka dalam premis di pusat ini," kata beliau.
Menurut Yong, burung-burung itu telah berada di situ semenjak beberapa tahun sebelum pusat tersebut dibina dan itulah sebabnya beliau merasakan tidak perlu menggunakan sistem bunyi bagi menarik perhatian burung walit.
Menurut Yong, yang mempunyai 15 tahun pengalaman dalam industri ini, burung walit memerlukan 40 hingga 60 hari untuk membina sarang sebelum sarang itu boleh dikumpul.
''Kebiasaannya waktu puncak adalah pada pukul 7.00 petang hingga 7.30 petang di mana burung walit akan pulang ke sarang", kata beliau, sambil menambah proses pembersihan serta pengadunan sarang burung mengambil masa sehingga tiga bulan.
Beliau berkata, pusat tersebut boleh mengeluarkan 8.0 kg sarang burung setiap hari dan kebanyakan pelanggannya adalah dari Taiwan, China dan Hong Kong.
Di pusat tersebut pelawat mempunyai peluang melihat "terbang lalu" burung walit di atas kepala mereka kerana burung-burung tersebut bebas berterbangan dalam premis itu.
"Pengunjung akan mengalami satu situasi unik seolah-olah mereka berada di habitat burung walit dan mengetahui rahsia tentang sarang burung atau dikenali juga sebagai Kaviar dari Timur," kata beliau. Pusat tersebut juga dilengkapi makmal di mana pelawat boleh melihat proses pembersihan sarang burung.
"Produk penjagaan kesihatan kami adalah dari pusat penternakan kami, termasuk pati dari sarang burung," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment