15 November 2010

Murid kumpul 1.6 juta kotak minuman

Pendedahan tentang kepentingan memelihara alam sekitar kepada murid-murid adalah langkah awal yang dapat menjamin keindahannya akan diwarisi generasi pada masa hadapan.

Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menganjurkan program kitar semula kotak minuman sejak Februari lalu.

Menurut Pengarah Komunikasi dan Alam Sekitar Tetra Pak, Terrynz Tan, melalui program tersebut sebanyak 1.6 juta kotak minuman telah berjaya dikumpul dari 50 buah sekolah yang terlibat.

"Melalui program itu juga, syarikat kami turut mengadakan ceramah alam sekitar mengenai pemanasan global di sekolah-sekolah yang terlibat.

"Kami percaya, penglibatan generasi muda dalam program ini jelas menunjukkan bahawa mereka semakin prihatin terhadap isu alam sekitar dan menyedari bahawa mereka juga dapat memainkan peranan memulihara keindahan alam ini," katanya pada Majlis Penyampaian Pemenang Program 'Nurture for Nature' di sini baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Mohd. Anuar Abdul Hamid dan Ketua Bahagian Pengurusan Korporat FRIM, Norhayati Nordin.

Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kelana, Petaling Jaya berjaya muncul sebagai johan Nurture for Nature' dengan mengenepikan 49 sekolah lain.

Kejayaan tersebut melayakkan sekolah tersebut membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan lawatan sambil belajar untuk pasukan Nature Ranjer (Renjer Alam Sekitar).

Menurut Guru Besar SK Sri Kelana, Rohayah Mohamad Sabi, kejayaan ini adalah komitmen bersama antara pihak guru, ibu bapa dan murid murid sendiri.

"Sebenarnya, program kitar semula di peringkat sekolah ini telah dimulakan sejak tahun 2004 lagi yang bertujuan mendidik murid-murid agar menyayangi alam sekitar.

"Bukan sahaja kotak minuman, kami juga menerima botol plastik mahupun akhbar lama untuk di kitar semula dan keuntungan yang diterima akan diagihkan mengikut kutipan kelas masing-masing," katanya.

Sementara itu, naib johan menjadi milik Sekolah Kebangsaan Ampang Campuran dan tempat ketiga dimenangi SK Cochrane Perkasa.

Manakala, Anugerah SPOC (guru yang mengendalikan program terbaik di sekolah) telah diberikan kepada Ong Eng Too dari SK Seksyen 9 Shah Alam.


ia merupakan satu usaha yang bagus bagi memberi kesedaran dan memupuk semangat cintai alam sekitar...mungkin ia secara tidak langsung mengelak daripada mereka yang terlibat untuk tidak membuang sampah sarap di merata-rata.

No comments:

Post a Comment