13 July 2010

Syor ajar subjek teknikal bermula Tingkatan Satu


MARAN: Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) mencadangkan supaya mata pelajaran teknik dan vokasional diajar bermula Tingkatan Satu bagi meningkatkan kemahiran modal insan serta keperluan tenaga pekerja mahir negara.

Presidennya, Mohd Sabri Mohd Arshad, berkata cadangan itu sebagai persediaan mengurangkan pergantungan ke atas tenaga kerja asing dari Indonesia, Bangladesh dan Myanmar.
Katanya, ketika ini, pelajar hanya berpeluang belajar mata pelajaran teknik dan vokasional selepas menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
"Ramai lepasan Tahun Enam yang berminat mempelajari mata pelajaran teknikal dan vokasional seperti bidang automotif, pertukangan rumah dan elektronik dan elektrikal.

"Mereka ini seharusnya diberikan peluang dengan memasuki ke sekolah aliran teknik dan vokasional lebih awal sekali gus dapat melengkapkan ilmu pengetahuan dan memantapkan kemahiran diri," katanya ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan KGMMB di Sekolah Menengah Chedong Jaya, dekat sini, kelmarin.

Beliau berkata, kerajaan wajar mengkaji untuk memberi peluang pelajar Tingkatan Satu belajar di sekolah teknik dan vokasional supaya masalah mendapatkan bekalan kerja mahir tidak timbul pada masa depan.

"Kita yakin inilah cara terbaik untuk membantu negara melatih tenaga kerja mahir dalam pelbagai bidang teknikal dan vokasional supaya tidak bergantung sepenuh dengan tenaga buruh asing," katanya.
Seorang bapa, Rahman Saari, 48, berkata, saranan mewujudkan sekolah teknik dan vokasional bermula Tingkatan Satu amat sesuai dilaksanakan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja negara.

Katanya, kerajaan perlu mengambil langkah awal untuk memperlengkapkan pelajar supaya lebih berkemahiran.

"Negara mempunyai masa kira-kira 10 tahun untuk mencapai Wawasan 2020 dan saranan ini sesuai dilaksanakan sebagai persediaan memenuhi permintaan tenaga kerja,” katanya.

Razali Musa, 38, berkata, kerajaan perlu mencontohi negara maju yang memperkasakan pendidikan teknik dan vokasional supaya tidak terlalu bergantung kepada tenaga buruh asing.

Katanya, kerajaan perlu membina asas yang kukuh supaya kemajuan negara dibangunkan oleh rakyat dengan tenaga pakar yang terlatih.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment