13 July 2010

18 universiti terima penarafan cemerlang




Tujuh lagi institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan 11 IPT swasta di negara ini menerima pengiktirafan cemerlang atau Tier Lima menerusi Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (SETARA) yang dikendalikan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Bagaimanapun, masih tiada IPT mencapai Tahap Terbilang atau Tier Enam, iaitu peringkat paling baik, kerana tidak menepati kriteria ditetapkan MQA.
Penarafan itu dilakukan setiap dua tahun bermula 2007, bagi mengukur kedudukan IPT awam dan swasta dalam usaha kerajaan meningkatkan taraf institusi pendidikan tinggi negara ke peringkat antarabangsa.

Mengumumkan keputusan SETARA 2009 di sini, semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata tahun lalu penarafan itu diperluaskan ke semua 58 universiti dan kolej universiti di seluruh negara, berbanding 20 IPT pada 2007.

Pada 2007, hanya Universiti Malaya (UM) menerima Tahap Cemerlang dan UM mengekalkan kedudukan itu pada SETARA 2009.

Pada 2009 juga 11 IPT awam dan 14 IPT swasta menduduki Tier Keempat, iaitu Tahap Sangat Baik, manakala empat IPT menduduki Tier Tiga atau Tahap Baik. Tiada IPT disenaraikan pada kedudukan Tier Dua (Memuaskan) dan Tier Satu (Lemah).
Mohamed Khaled berkata, 11 IPT pula tidak dapat diberi penarafan kerana pelbagai faktor termasuk baru ditubuhkan, tidak menawarkan program ijazah pertama, tiada pelajar tahun akhir atau belum menghasilkan graduan dan universiti bukan konvensional seperti universiti terbuka yang mungkin memerlukan instrumen tersendiri.

Beliau berharap lebih banyak IPT menyertai penarafan itu dan memecahkan tradisi untuk mencapai Tahap Terbilang pada SETARA 2011.

Mohamed Khaled berkata, penarafan SETARA 2009 memberi fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran pada peringkat ijazah pertama yang dijalankan universiti dan kolej universiti terbabit.

"Pembangunan instrumen itu membabitkan pembandingan dengan amalan Higher Education Funding Council of England (HEFCE) dan kajian Teaching & Learning Quality Indicators in Australia Universities oleh Denise Chalmers (2008) serta rakan negara ASEAN lain, iaitu tiga universiti di Indonesia dan 31 universiti di Thailand," katanya.

Beliau berkata, program kali ini juga membabitkan proses pengesahan oleh Jawatankuasa Verifikasi dipengerusikan seorang bekas hakim Mahkamah Tinggi dan dianggotai dua tokoh akademik serta perundangan yang meneliti instrumen kajian dan proses penarafan yang digunakan serta kesahihan data dikemukakan IPT.

Katanya, IPT awam yang mencapai tahap cemerlang akan menikmati banyak manfaat termasuk tajaan kerajaan bagi pengambilan pelajar dalam dan luar negara, boleh memohon dan menerima geran penyelidikan dan layak mendapatkan status universiti penyelidikan serta menambah program pelajar pra dan pasca siswazah.

IPT swasta pula diberi kelonggaran dan pengecualian dalam beberapa perkara, termasuk permohonan permit mengajar, kelulusan menetapkan gaji pensyarah antarabangsa dan dibenarkan mengambil pelajar antarabangsa secara automatik, manakala IPT Terbilang mendapat tambahan keistimewaan autonomi untuk melaksanakan program pengajian tanpa perlu melalui MQA.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment