13 May 2010

Hari Guru

HARI GURU akan disambut pada 16 mei ini dengan tema "Guru Pembina Negara Bangsa". Guru merupakan baris depan untuk membina modal insan.Tanggungjawab sebagai seorang guru amat besar untuk dilaksanakan.Tindakan KPM untuk mengkaji bebanan guru adalah sangat bertepatan sekali kerana tugas guru semakin meningkat. Di harapkan ada berita baik buat para guru pada 16 mei ini sebab KPM akan mengumumkan hasil kajian tersebut.

Kerjaya guru merupakan kerjaya yang mulia.Walaupun pencen orang tetap memanggil cikgu, orang ramai lebih selesa menyebut dengan panggilan cikgu berbanding dengan nama.Tugas guru juga umpama doktor di mana merawat pelajar2 yang lemah. Kerja sebagai guru tidak lagi menjadi pilihan terakhir sebagaiman yang diperkatakan oleh sesetengah golongan suatu ketika dahulu. Di mana permohonan memasuki intitusi perguruan berganda daripada kekosongan tempat yang ditawarkan.Bijak pandai diperlukan dalam bidang perdidikan di mana sekolah menjadi kilang untuk menghasilkan pelajar yang berkualiti.Guru yang berkuakiti insyaallah akan mampu melahirkan pelajar yang berkualiti.

Jasa guru perlu dikenang..terima kasih cikgu...

2 comments:

  1. KUANTAN: Profesor Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid, dipilih selaku penerima anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2010 sempena Sambutan Hari Guru ke-39 hari ini.

    Ibrahim adalah bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) dipilih penerima anugerah berkenaan di atas sumbangannya sebagai perunding dalam pembuatan dasar kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan. Beliau adalah Penasihat Kebangsaan/Perunding Asia-Eropah Pembelajaran Sepanjang Hayat di Malaysia dan kini terbabit dalam beberapa projek penyelidikan dan mengawasi beberapa pelajar peringkat Sarjana dan Kedoktoran. Ibrahim juga menganggotai Lembaga Penasihat Akademik di beberapa pusat pengajian tinggi negara dan beliau sudah menulis lebih daripada lima ratus rencana dan penulisan ilmiah yang merangkumi isu penting dalam pembangunan nasional yang berkaitan dengan pendidikan, modal insan, intelektual dan sosial.

    Ibrahim berkata, bila seseorang menerima sesuatu anugerah bukan atas usahanya sendiri saja malah turut membabitkan usaha orang lain.

    "Anugerah ini adalah untuk semua kaum guru yang memikul tanggungjawab yang besar mendidik anak bangsa.

    "Guru mempunyai cabaran yang banyak untuk perubahan masyarakat bukan saja di negara ini malah seantero dunia," katanya pada majlis sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.
    Sementara itu, empat bekas guru, Awang Mohamad, 59; Encharang Agas, 66; Datuk Chuang Keng Kung, 72, dan Ainun Jamilah Mohd Ali, 60, pula telah dipilih bagi menerima anugerah Tokoh Guru 2010.

    Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan dan anugerah Tokoh Guru 2010 itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

    Salah seorang penerima Tokoh Guru berkenaan, Awang Mohamad amat berbangga dengan anugerah yang diterima itu.

    "Tahun demi tahun saya lihat upacara pelancaran ini semakin hebat dan ini adalah satu manifestasi kepada lebih 400,000 guru dan 7,000 Guru Besar seluruh negara," katanya.

    Bagaimanapun, beliau mengharapkan anugerah Tokoh Guru itu dapat diperluaskan lagi kerana nisbah empat penerima dengan jumlah guru yang ada amat sedikit.

    Kesemua pemenang berkenaan masing-masing menerima wang tunai RM10,000, piala serta sijil penganugerahan.

    Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom, ketika berucap pada majlis itu berkata, kunci kepada kecemerlangan pendidikan ialah guru-guru yang berkualiti.

    Katanya, dalam usaha untuk meningkatkan kualiti guru dan memartabatkan profesionalisme keguruan, agendanya bukan hanya sekadar penambahbaikan skim perkhidmatan dan kebajikan semata-mata.

    "Ianya turut bergantung kepada tahap kualiti, kompetensi, jati diri dan semangat para guru. Faktor-faktor ini banyak mempengaruhi persepsi dan penerimaan masyarakat terhadap profesion ini yang akhirnya, akan menentukan sejauh mana profesion keguruan akan terus dihormati dan dipandang tinggi," katanya.

    Pendidik juga katanya, hendaklah sentiasa bersedia untuk berubah dari satu tahap amalan kerja yang biasa ke suatu tahap yang berprestasi tinggi. - Bernama

    ReplyDelete
  2. Mengenali Awang Tokoh Guru Malaysia 2010

    KOTA BHARU 31 Mei - Lebih 500 khidmat pesanan ringkas (SMS) dan puluhan panggilan telefon diterimanya pada hari itu untuk mengucapkan tahniah kepadanya setelah menerima anugerah sebagai salah seorang Tokoh Guru Malaysia 2010.

    Ia sangat menyentuh perasaannya yang berbaur dengan kegembiraan dan keharuan, apatah lagi sebilangannya mengutuskan kata-kata, ''Saya berbangga menjadi anak didik cikgu."

    Bagi Awang Mohamad, 59, ia pengucapan yang sangat bermakna untuk ditatap dan didengar oleh seorang guru kerana ia sudah cukup sebagai penghargaan tidak ternilai daripada bekas murid-muridnya.

    Menurut Awang, beliau tidak menyangka terpilih sebagai Tokoh Guru dan anugerah itu diterima dengan rasa bangga kerana menganggap perkhidmatannya dalam bidang pendidikan selama ini mendapat pengiktirafan.

    Beliau berpendapat, penglibatannya dalam pelbagai aktiviti persatuan di peringkat kebangsaan kemungkinan menyebabkan beliau lebih menyerlah dan khidmatnya diikuti.

    Justeru katanya, beliau percaya ia mungkin menjadi salah satu punca mengapa giliran beliau pula kali ini dipilih sebagai salah seorang Tokoh Guru Malaysia 2010.

    Awang aktif memperjuangkan nasib guru melalui penglibatannya sebagai Yang Dipertua Majlis Guru Besar Malaysia, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran dan Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab.

    Selama tiga tahun beliau memperjuangkan nasib guru dan guru besar yang tidak mempunyai ijazah untuk mendapatkan kelayakan itu dan di bawah Program Pensiswazahan Guru dan Guru Besar, kini 80 peratus guru berkenaan mendapat ijazah yang diperoleh melalui kursus hujung minggu.

    Beliau juga turut memperjuangkan kenaikan Gred Guru Besar Tertinggi yang satu masa dahulu hanya setakat DGA 34 tetapi kemudiannya meningkat kepada DGA 38.

    Daripada perjuangannya juga, guru yang berkelayakan mendapatkan 'Pemberian Wang Tunai Gantian Cuti Rehat (Golden Hand Shake)' memperolehnya untuk tempoh empat bulan dan kemudiannya menjadi lima bulan.

    Di sebalik kesibukannya berpersatuan, bekas guru besar itu tidak melepaskan tanggungjawab menerajui sekolah dan mendidik murid-murid di lima buah sekolah sepanjang perkhidmatannya.

    ''Saya mahu memberikan sebaik-baik perkhidmatan supaya kejayaan boleh dinikmati oleh mereka yang berkenaan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Panji di sini semalam.

    Walaupun terpaksa membahagi masa dalam persatuan katanya, beliau banyak dibantu oleh guru penolong kanan menjalankan tugas dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi daripada guru-guru lain.

    Menyingkap sejarah kerjayanya, sebaik sahaja mendapat Diploma Perguruan dari Sultan Idris Training College (SITC) Tanjung Malim, beliau mengajar di Sekolah Kebangsaan Hamzah, Machang pada 1974.

    Beliau bertugas selama enam tahun sebagai guru Matematik dan semasa di sekolah itu, beliau memperkenalkan teknik pengajaran Matematik daripada seorang guru yang terkenal dengan nama Mr. Mahboh Mahyidin.

    Dengan kemahiran yang ditimba, beliau kekal sebagai guru pakar Matematik sehingga ke akhir perkhidmatannya dan pernah dilantik sebagai Ketua Unit Matematik Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan.

    Selama enam tahun beliau turut mendapat latihan di Pusat Perkembangan Matematik KBSR di Kementerian Pelajaran dan sepanjang tempoh itu juga beliau membimbing hampir 4,000 guru Matematik di Kelantan.

    Beliau selepas itu berpindah ke SK Raja Bahar dan kemudian ke SK Islah, SK Kubang Kerian 3 pada 2001 sebelum bersara pada 2006.

    Menurutnya, selepas memasuki alam persaraan, beliau masih sukar untuk mengikis sikap sebagai seorang guru yang membentuk keperibadiannya selama ini.

    Petikan Utusan Malaysia Online: 1 Jun 2010

    ReplyDelete