KOTA BHARU 6 Okt. – Kuih akok sememangnya tidak asing lagi bagi penduduk negeri ini. Rasanya yang manis menyebabkan ia menjadi pilihan ramai termasuk ketika penganjuran majlis-majlis rasmi.
Permintaan yang sentiasa tinggi di pasaran menyebabkan semakin ramai khususnya golongan wanita, menceburi pembikinan kuih akok sama ada sepenuh masa ataupun secara sambilan, bagi menambahkan pendapatan keluarga.
Perkembangan itu juga menyaksikan pembikinan kuih akok yang sebelum ini dilakukan secara tradisional turut berubah menggunakan peralatan lebih moden dan mampu menghasilkan kuih dalam kuantiti lebih banyak pada waktu singkat.
Antara yang terlibat dalam pembuatan kuih tradisi masyarakat Kelantan itu ialah Nur Akilah Othman, 41, yang dibantu suaminya, Zainuddin Talib, 47, dari Wakaf Mek Zainab di sini.
Melihat potensi yang ada, pasangan berkenaan sanggup melabur sebanyak RM3,500 bagi membeli sebuah pembakar kuih akok terpakai untuk memudahkan proses pembakaran kuih tersebut yang secara tradisinya menggunakan sabut kelapa atau arang.
Sebenarnya, pembikinan kuih akok tidak memerlukan modal yang besar kerana bahan-bahan mentah yang diperlukan hanyalah telur, santan, tepung dan gula.
Selebihnya, bergantung kepada kemahiran si pembuat bagi menghasilkan kuih yang enak dan beraroma sehingga mampu menyebabkan pembeli kecur air liur.
“Pada mulanya, saya hanya membelanjakan RM50 untuk membeli bahan-bahan berkenaan dan memasaknya menggunakan ketuhar pembakar itu,” kata Nur Akilah dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurut wanita itu, jika sebelum ini kuih akok hanya dihasilkan dalam perisa asli, namun bagi mempelbagaikan pilihan pembeli, dia turut menghasilkan kuih akok berperisa pandan sehingga mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM100 sehari.
Kata ibu kepada enam anak itu, berkat kesungguhan dan sambutan menggalakkan untuk kuih akoknya itu, dia kini terpaksa menukar rutin kehidupannya yang sebelum ini hanya mengasuh anak-anak dan bergantung hidup kepada pendapatan tidak menentu suami sebagai tukang cincin.
“Bermula pukul 11 pagi, saya mengadun sendiri bancuhan akok dan memasaknya sehingga pukul 3 petang sampailah kuih akok habis dijual,” katanya yang menjual pada harga RM2 untuk tujuh biji kuih berkenaan.
Nur Akilah mengakui, permintaan terhadap kuih akok agak luar biasa pada setiap kali bulan Ramadan kerana pada bulan puasa lalu, dia perlu menyediakan lebih 2,000 biji kuih setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Saya bersyukur diberi rezeki dengan mengusahakan kuih akok dan dapatlah menanggung perbelanjaan keluarga serta pelajaran anak-anak. Suami saya juga tidak lagi mengambil upah membuat cincin perak sebaliknya membantu memasak kuih akok,” jelasnya.
Seorang lagi pengusaha kuih akok, Sarinah Ismail 40, dari Kampung Salor dekat sini pula mewarisi kemahiran membuat kuih berkenaan daripada ibunya, Majnah Ibrahim, 60, dan mengambil alih kerja menjual kuih tersebut yang dimulakan oleh arwah ayahnya hampir 30 tahun lalu.
Sarinah yang lebih gemar menghasilkan kuih akok berperisa asli memberitahu, kuih akok buatannya hasil adunan telur, santan dan tepung sahaja.
“Saya mengambil alih membuat kuih akok ini kira -kira setahun lalu apabila balik ke kampung selepas berhijrah ke Johor beberapa tahun lalu. Setiap hari saya membancuh adunan 300 biji telur yang boleh menghasilkan kira-kira 800 biji kuih akok.
“Pada bulan Ramadan, saya memasak kuih menggunakan lebih 1,000 biji telur dan ketika itu kami memang tak menang tangan,” katanya yang turut mendapat bantuan suami, Rosmiza Ghazali, 42, ibunya dan dua pekerja.
Menurut Sarinah, dia mula membancuh adunan kuih kira-kira pukul 8.30 pagi dan memasaknya dengan menggunakan 18 buah dapur arang semata-mata untuk mengekalkan aroma asli kuih berkenaan.
Jelasnya, dia menjual sebungkus kuih akok mengandungi 100 biji pada harga RM35 dan sambutan yang diterima setakat ini sangat menggalakkan, terutama pada bulan puasa lalu.
Sarinah melahirkan rasa syukur kerana perusahaan kuih itu mampu memberi pendapatan lumayan kepada mereka sekeluarga dan dia berhasrat mengembangkan lagi perniagaan tersebut pada masa hadapan.http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_01.htm
No comments:
Post a Comment