20 October 2011

Penangan air buah 'pior'

SELEPAS penat menyusuri kawasan pinggiran Kuala Terengganu untuk bersantai pada lewat petang atau malam, ramai dalam kalangan warga bandar raya ini pasti teringatkan air buah untuk menghilangkan dahaga.

Tentunya air buah dicari untuk membasahi tekak, sambil menikmati keropok lekor, ikan atau sotong celup tepung yang digoreng, selain roti canai atau nasi dagang.

Sebenarnya, banyak pilihan gerai dan restoran termasuk di kawasan Seberang Takir yang lebih popular dengan air buahnya dengan aneka pilihan terutama di Restoran Air Buah Pior di Kampung Bukit Tok Beng boleh disinggahi.

Ia mungkin sekadar sebuah restoran biasa tetapi mampu menampung sehingga 150 pelanggan dalam satu masa. Perkataan 'pior' itu adalah daripada perkataan Inggeris 'pure' yang bermaksud tulen.

Terletak tidak jauh dari pantai Teluk Ketapang dan jeti bot penambang Seberang Takir, restoran itu beroperasi setiap hari kecuali Isnin, dibuka mulai pukul lima petang hingga lewat malam dan kerap penuh dengan pelanggan.

Pengusahanya, Norzita Bakar, 41, berkata, populariti air buah yang begitu sinonim dengan Seberang Takir menyebabkan ia menjadi hidangan wajib di kebanyakan kedai makan dan restoran di sekitar kawasan itu.

Beroperasi sejak 12 tahun lalu, katanya, restoran itu menghidangkan lebih 30 jenis jus buah segar dan pekat seperti mempelam, pisang, nenas, epal, betik, lobak merah, nangka, laici, asam jawa, tomato, oren dan kurma.

"Paling kerap ditempah pelanggan adalah air buah naga, durian belanda dan mempelam. Ada juga jus yang disediakan mengikut musim seperti durian, rambutan, ciku dan cempedak," katanya ketika ditemui S2.

Menurut isteri kepada Azman Mohamad, 42, ini pengunjung diberi pilihan untuk dihidangkan dengan tiga saiz gelas iaitu gelas besar satu liter, gelas sedang setengah liter dan gelas kecil 200 mililiter.

Selain jus buah, turut disediakan adalah pelbagai juadah lain seperti laksam, sate, nasi lemak, nasi minyak, mi goreng, mi sup, pulut lepa, sata, laksa Terengganu dan keropok lekor.

Restoran yang bermula dengan hanya dua buah meja itu beroperasi dengan bantuan suaminya dan 12 orang pekerja.

"Biasanya waktu cuti atau hujung minggu kedatangan pelanggan berganda. Kalau tiga buah bas pelancong datang singgah, kerusi pasti penuh.

"Ada kalanya waktu begini, kami terpaksa beroperasi sehingga pukul 2 pagi. Kalau hari biasa, pukul 12 tengah malam, kami dah tutup," katanya.

Penangan Air Buah Pior yang pekat dengan rasa asli membuatkan pengunjung mahu datang lagi. Norzita memberitahu, tidak ada rahsia istimewa kerana sesiapa sahaja boleh menghasilkan air buah ini di restoran mereka atau di rumah masing-masing.

"Dahulu masa mula-mula berniaga, ramai yang beranggapan perniagaan ini tidak bertahan lama kerana tidak mampu menandingi populariti restoran air buah yang lain, selain kedudukan restoran ini terletak di jalan mati ke Kampung Seberang Takir.

"Apa yang penting, kalau kita kata air buah di sini adalah 'pior', maka pelanggan akan merasa yang 'pior' sahaja. Janji kita dengan pelanggan yang lebih penting dan itulah rahsia populariti restoran ini," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm

Kuih akok ubah nasib keluarga

KOTA BHARU 6 Okt. – Kuih akok sememangnya tidak asing lagi bagi penduduk negeri ini. Rasanya yang manis menyebabkan ia menjadi pilihan ramai termasuk ketika penganjuran majlis-majlis rasmi.

Permintaan yang sentiasa tinggi di pasaran menyebabkan semakin ramai khususnya golongan wanita, menceburi pembikinan kuih akok sama ada sepenuh masa ataupun secara sambilan, bagi menambahkan pendapatan keluarga.

Perkembangan itu juga menyaksikan pembikinan kuih akok yang sebelum ini dilakukan secara tradisional turut berubah menggunakan peralatan lebih moden dan mampu menghasilkan kuih dalam kuantiti lebih banyak pada waktu singkat.

Antara yang terlibat dalam pembuatan kuih tradisi masyarakat Kelantan itu ialah Nur Akilah Othman, 41, yang dibantu suaminya, Zainuddin Talib, 47, dari Wakaf Mek Zainab di sini.

Melihat potensi yang ada, pasangan berkenaan sanggup melabur sebanyak RM3,500 bagi membeli sebuah pembakar kuih akok terpakai untuk memudahkan proses pembakaran kuih tersebut yang secara tradisinya menggunakan sabut kelapa atau arang.

Sebenarnya, pembikinan kuih akok tidak memerlukan modal yang besar kerana bahan-bahan mentah yang diperlukan hanyalah telur, santan, tepung dan gula.

Selebihnya, bergantung kepada kemahiran si pembuat bagi menghasilkan kuih yang enak dan beraroma sehingga mampu menyebabkan pembeli kecur air liur.

“Pada mulanya, saya hanya membelanjakan RM50 untuk membeli bahan-bahan berkenaan dan memasaknya menggunakan ketuhar pembakar itu,” kata Nur Akilah dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut wanita itu, jika sebelum ini kuih akok hanya dihasilkan dalam perisa asli, namun bagi mempelbagaikan pilihan pembeli, dia turut menghasilkan kuih akok berperisa pandan sehingga mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM100 sehari.

Kata ibu kepada enam anak itu, berkat kesungguhan dan sambutan menggalakkan untuk kuih akoknya itu, dia kini terpaksa menukar rutin kehidupannya yang sebelum ini hanya mengasuh anak-anak dan bergantung hidup kepada pendapatan tidak menentu suami sebagai tukang cincin.

“Bermula pukul 11 pagi, saya mengadun sendiri bancuhan akok dan memasaknya sehingga pukul 3 petang sampailah kuih akok habis dijual,” katanya yang menjual pada harga RM2 untuk tujuh biji kuih berkenaan.

Nur Akilah mengakui, permintaan terhadap kuih akok agak luar biasa pada setiap kali bulan Ramadan kerana pada bulan puasa lalu, dia perlu menyediakan lebih 2,000 biji kuih setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Saya bersyukur diberi rezeki dengan mengusahakan kuih akok dan dapatlah menanggung perbelanjaan keluarga serta pelajaran anak-anak. Suami saya juga tidak lagi mengambil upah membuat cincin perak sebaliknya membantu memasak kuih akok,” jelasnya.

Seorang lagi pengusaha kuih akok, Sarinah Ismail 40, dari Kampung Salor dekat sini pula mewarisi kemahiran membuat kuih berkenaan daripada ibunya, Majnah Ibrahim, 60, dan mengambil alih kerja menjual kuih tersebut yang dimulakan oleh arwah ayahnya hampir 30 tahun lalu.

Sarinah yang lebih gemar menghasilkan kuih akok berperisa asli memberitahu, kuih akok buatannya hasil adunan telur, santan dan tepung sahaja.

“Saya mengambil alih membuat kuih akok ini kira -kira setahun lalu apabila balik ke kampung selepas berhijrah ke Johor beberapa tahun lalu. Setiap hari saya membancuh adunan 300 biji telur yang boleh menghasilkan kira-kira 800 biji kuih akok.

“Pada bulan Ramadan, saya memasak kuih menggunakan lebih 1,000 biji telur dan ketika itu kami memang tak menang tangan,” katanya yang turut mendapat bantuan suami, Rosmiza Ghazali, 42, ibunya dan dua pekerja.

Menurut Sarinah, dia mula membancuh adunan kuih kira-kira pukul 8.30 pagi dan memasaknya dengan menggunakan 18 buah dapur arang semata-mata untuk mengekalkan aroma asli kuih berkenaan.

Jelasnya, dia menjual sebungkus kuih akok mengandungi 100 biji pada harga RM35 dan sambutan yang diterima setakat ini sangat menggalakkan, terutama pada bulan puasa lalu.

Sarinah melahirkan rasa syukur kerana perusahaan kuih itu mampu memberi pendapatan lumayan kepada mereka sekeluarga dan dia berhasrat mengembangkan lagi perniagaan tersebut pada masa hadapan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_01.htm

PHB umum agih pendapatan kali kedua

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Pelaburan Hartanah Bhd. (PHB) mengumumkan pengagihan pendapatan kedua sebanyak 3.25 sen seunit untuk Dana Unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) bagi tempoh enam bulan berakhir pada 30 September 2011.

Pengagihan ini mencerminkan kadar pulangan tahunan sebanyak 6.5 peratus, yang ditanda aras terhadap pendapatan 12 bulan Akaun-i Pelaburan Am, Maybank Islamic Berhad.

PHB merupakan penaja dan Maybank Investment Management Sdn. Bhd., selaku pengurus bagi dana tersebut.

Jumlah pengagihan pendapatan untuk sepuluh bulan pertama berakhir pada 30 September 2011 adalah 5.42 sen seunit bersamaan kadar pulangan tahunan sebanyak 6.5 peratus.

Pengagihan pendapatan yang pertama sebanyak 2.17 sen seunit bagi tempoh empat bulan pertama berakhir pada 31 Mac 2011 telah dibayar pada bulan April 2011, kata PHB dalam kenyataannya di sini.

Agihan pendapatan ini akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank pemegang-pemegang unit pada 19 Oktober 2011. Pendapatan itu adalah dikecualikan daripada cukai.

AHB dengan harga tetap RM1.00 seunit adalah dana unit amanah bersandarkan hartanah yang mematuhi syariah, membolehkan pelabur bumiputera menyertai pemilikan aset hartanah.

sumber: utusan malaysia