23 September 2011

Thailand puji Kolej Komuniti

SERAMAI 25 pengarah dan kakitangan Kolej-Kolej Komuniti Thailand mengadakan lawatan sambil belajar ke Kolej Komuniti Selayang (KKS), Selangor baru-baru ini.

Menurut ketua delegasinya yang juga Timbalan Setiausaha Jabatan Suruhanjaya Pengajian Tinggi Thailand, Nangnoi Puapatanakul, KKS dipilih sempena program tersebut kerana dianggap antara institusi pengajian tinggi di Kuala Lumpur yang memiliki pelbagai kemudahan pengajian kemahiran yang lengkap.

Beliau berkata, lawatan itu membolehkan pengarah-pengarah meneroka setiap kelebihan yang terdapat di kolej berkenaan termasuk pengajian, kursus dan kemudahan yang disediakan pihak KKS.

"Melalui lawatan ilmiah ini, kesemua ahli rombongan dapat berkongsi pengalaman dan berpeluang menimba banyak pengetahuan mengenai peluang pendidikan kemahiran di Malaysia.

"'Selain itu, kami juga dapat memperkenalkan kolej-kolej komuniti di Thailand yang turut menawarkan pelbagai kursus," katanya.

Sempena program itu, rombongan delegasi diberi taklimat operasi serta program pengajian yang ditawarkan KKS daripada Pengarah KKS, Suriati Ghosh Abdullah.

Selain majlis ramah mesra antara kakitangan KKS dan delegasi Thailand itu, mereka turut dibawa melawat Bengkel Bakeri Dan Konfeksonari, Bengkel Hotel Asha-Nursuit, Bengkel Hotel dan Catering, Studio Apparel dan pelbagai kemudahan pembelajaran terkini yang disediakan oleh pihak KKS.

Usaha itu bertujuan mendedahkan mengenai kemudahan yang terdapat di KKS selain dapat menarik minat pengarah-pengarah Kolej Komuniti Thailand untuk meningkatkan kerjasama pengajian di kolej berkenaan.

Sementara itu, Suriati berkata, lawatan ini dapat mewujudkan hubungan baik antara KKS dan Kolej Komuniti Thailand.

Menurutnya, pertemuan selama dua jam memberi peluang kepada pihak pengurusan KKKS meningkatkan mutu kualiti perkhidmatan khususnya dalam bidang pengajian kemahiran tinggi pada masa hadapan.

"Pada kesempatan ini kedua-dua pihak telah bertukar-tukar pandangan berhubung isu-isu berkaitan bidang komuniti di antara kedua-dua negara.

"Kedua-dua pihak juga bersetuju menjadikan lawatan ini platform bagi usaha selanjutnya dalam mencari peluang kerjasama antara kedua belah pihak.

"Diharapkan dengan lawatan ini mengeratkan hubungan silaturahim antara kedua-dua pihak dan menanam minat pihak rombongan untuk menambah baik sistem pengajian kemahiran antara kedua-dua negara," katanya lagi.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0919&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kampus&pg=ka_02.htm

No comments:

Post a Comment