KETIKA itu saya lihat Kylee tidak sedarkan diri, tidak bernafas lagi, lantas saya menarik Kylee keluar dari tab mandi dan terus memberikan bantuan CPR (pernafasan mulut ke mulut) kepadanya,” cerita si kecil Kyra Foster yang berusia 8 tahun ketika menyelamatkan nyawa adiknya.
Ketika kejadian, dua beradik itu berada di rumah nenek mereka apabila adik Kyra, Kylee, 4, yang mandi di dalam tab tergelincir setelah terpijak permainan di bilik mandi.
Anak kecil itu terjatuh, tertelan air dan kepalanya terhantuk lantas tidak sedarkan diri.
Kyra yang mempelajari teknik CPR menerusi satu program di televisyen yang pernah ditonton sebelum itu tidak berfikir panjang dan terus mempraktikkan apa yang dilihat menerusi kaca televisyen.
Selepas melakukan CPR, Kyra lantas memanggil neneknya yang terus menghubungi talian kecemasan untuk bantuan selanjutnya.
Kisah Kyra dan pengetahuan bantuan awal ketika kecemasan yang dimilikinya memberi impak kepada seluruh penduduk dunia.
Kejadian yang berlaku di Arizona, Amerika Syarikat pada April lalu membuktikan bahawa pengetahuan dalam bidang bantuan awal kecemasan atau bantu mula amat perlu diterapkan dalam diri setiap ahli keluarga supaya ia dapat digunakan pada masa yang tidak dijangka.
Terlalu banyak kejadian seumpama kisah Kyra dan adiknya berlaku di negara kita yang berakhir dengan kematian.
Antara kes yang sering berlaku di rumah, lemas dalam baldi, tersedak susu, terkena renjatan elektrik, curahan air panas dan sebagainya.
Malah, kes kemalangan di rumah di negara ini meningkat setiap tahun dek kerana kelalaian dan tidak mempunyai ilmu pengetahuan dalam memberikan bantuan awal kecemasan.
Memanglah ajal dan maut di tangan tuhan namun tuhan mengubah nasib hambanya yang berikhtiar memulihkan keadaan tersebut.
“Mempunyai anak kecil yang boleh bertindak balas dengan segera dan melakukan perkara yang betul membuktikan kita merupakan masyarakat yang mempunyai asas pendidikan CPR dan mendjadikan keadaan jauh lebih baik (To have a young child be able to react quickly and do the right thing, it just proves if we do community-based education and CPR then we make these situations a lot better),” ujar Styles, telefonis yang menjawab panggilan kecemasan nenek Kyra yang menghubunginya ketika kejadian.
Persoalannya berapa ramai rakyat di negara ini mempunyai kesedaran tentang kepentingan pertolongan cemas dan tahu tentang ilmu bantu mula ini?
Pegawai Latihan di Institut Latihan Ibu Pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM), Thonia Bundas memberikan definisi bantu mula atau bantuan awal sebagai tindakan yang perlu dibuat apabila berlaku keadaan cemas di depan mata sebelum menunggu ketibaan ambulans.
Thonia menambah, bantuan awal ini amat penting kerana ia boleh menyelamatkan nyawa seseorang.
“Jika menunggu tanpa melakukan apa-apa, bukan saja masa telah terbuang di situ peratusan untuk mangsa hidup kurang menurun.
“Jika tahu teknik, ia bukan saja menjimatkan masa malah yang lebih utama menyelamatkan nyawa,” jelasnya ketika ditemui di ibu pejabat PBSMM di Jalan Nipah, Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bantu mula ini adalah orang pertama yang melakukan tindakan sebelum tibanya paramedik.
Dalam istilah pertolongan cemas individu yang memiliki pengetahuan tentang bantu mula digelar sebagai First Aider.
“Sesiapa sahaja boleh menjadi First Aider, dengan matlamat menyelamatkan nyawa, kurangkan kecederaan dan meminimumkan kesakitan.
“Selepas melakukan bantu mula segeralah menghubungi talian 999,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment