MEMPERLUAS rangkaian produk elektronik keluaran syarikatnya, ViewSonic baru-baru ini tampil dengan siri projektor berteknologi tinggi sesuai untuk operasi di rumah atau pun bagi tujuan profesional.
Kehadiran semua projektor untuk siri PJD7 dan Pro8 itu dilihat bakal menawarkan pengalaman tayangan menerusi platform pemprosesan cahaya digital ke peringkat lebih cemerlang dari segi kualiti dan interaktiviti.
Untuk siri PDJ7, ia ditampilkan dalam dua model iaitu PJD7383i dan PJD7583wi dengan sasaran operasi pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.
Kedua-dua model berkenaan diintegrasikan bersama ciri mesra pengguna, paparan tiga dimensi tersedia (3D ready), 3,000 lampu lumen, resolusi 1,024 x 768 dan proses pemasangan mudah.
Apa yang unik, model-model itu turut dilengkapi keupayaan interaktif yang membenarkan pengguna menulis secara terus pada imej yang dipaparkan menerusi pen khas dikenali sebagai PointBlank Pen.
Selain itu, ia turut disempurnakan bersama teknologi lontaran imej berjarak pendek iaitu kurang daripada satu meter dari skrin bersaiz 80 inci serta mempunyai mikrofon binaan dalam dan sambungan USB.
Ia juga tersedia bersama sokongan sambungan LAN untuk membolehkan operasinya dapat dipantau, dirus dan diselenggara oleh pihak tertentu sebagai contoh bahagian teknologi maklumat (IT).
Menurut Pengurus Negara ViewSonic, Eileen Soh, dengan semua kelebihan itu, ia akan memudahkan perjalanan aktiviti pengajaran di dalam kelas.
"Produk inovatif ini bakal membantu para pengajar berkomunikasi dengan pelajar secara lebih efektif sekali gus dapat menarik perhatian mereka," katanya.
Melihat siri Pro8 pula, antara model-model yang ditampilkan adalah seperti Pro8200, Pro8500 dan Pro8450w.
Kesemuanya didatangkan bersama kelebihan teknologi BrilliantColor untuk meningkatkan kesan kualiti pada paparan.
Model Pro8200 dibangunkan secara eksklusif untuk menyokong operasi bersama sistem teater rumah dengan kelebihan seperti resolusi 1920x1080, warna bertenaga, paparan video berdefinisi tinggi (HD) dan kualiti pencerahan tinggi.
Untuk Pro8500 pula, ia merupakan projektor profesional untuk kegunaan komersial dengan dilengkapi 5,000 lampu lumen, resolusi 1024x768 XGA dan mampu beroperasi dalam apa juga situasi pencahayaan.
Sementara untuk model Pro8450w, ia dibangunkan dengan teknologi pencerahan tinggi yang menawarkan paparan warna lebih jelas selain mempunyai 4,500 lampu lumen dan beresolusi 1280x800 WXGA.
Model ViewSonic PJD7383i dan PJD7583wi masing-masing dijual pada harga pasaran RM5,999 dan RM6,999.
Bagi model Pro8200 pula, harganya RM5,099, Pro8500 (RM7,999) dan Pro8450 (RM6,999)
Untuk maklumat spesifikasi dan teknikal lebih terperinci, sila layari laman web www.viwsonic.com.
No comments:
Post a Comment