10 October 2010

80 peratus premis terdedah kilat

Sistem perlindungan petir di bangunan kerajaan tak ikut piawaian global

KUALA LUMPUR: Kira-kira 80 peratus sistem perlindungan kilat yang dipasang pada bangunan termasuk hospital seluruh negara tidak menepati kehendak dan piawaian kebangsaan serta antarabangsa.

Lebih teruk lagi, 90 peratus bangunan di sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya pula didapati tidak dilengkapi sistem perlin-dungan kilat yang menepati piawaian termasuk bangunan hospital dan masjidnya.
Yang amat membimbangkan, kebanyakan daripada 147 hospital awam di seluruh negara pula didapati tidak mempunyai sistem perlindungan kilat yang menepati piawaian. Keadaan ini selain boleh menyebabkan kerosakan pada sistem elektronik dan bangunan, ia juga memberi kesan besar kepada pesakit yang menerima rawatan.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/80peratuspremisterdedahkilat/Article

Ini bermakna, kebanyakan bangunan di negara kita terdedah kepada bahaya kerosakan peralatan elektronik, kebakaran bangunan dan boleh mendatangkan kecederaan atau kematian kepada pengguna yang berada berhampiran peralatan yang menerima kesan panahan kilat.

Panahan kilat adalah satu `ancaman besar’ jika tidak diuruskan dengan sempurna kerana ia menghasilkan arus elektrik pada tahap tinggi iaitu 30,000 hingga 300,000 ampere dengan tahap kepanasan kira-kira 40,000 darjah celsius.

Jumlah itu terlalu tinggi berbanding kegunaan untuk satu fasa bangunan yang jumlah arus elektrik hanya 60 ampere.
Di seluruh dunia sebanyak 25,000 individu di kesan menjadi mangsa panahan kilat dan memusnahkan harta benda hingga mencecah kerugian RM3.6 bilion setahun.

Walaupun, tiada angka dan kajian berhubung kerosakan dan kerugian secara khusus di negara kita berpunca panahan kilat, angka secara keseluruhan menunjukkan masalah itu perlu diambil serius dalam memastikan keselamatan bangunan dan pengguna terjamin.

Keadaan ini ditambah dengan wujudnya sikap ‘tidak perlu bimbang’ atau ‘tidak perlu kisah’ kepada perlunya sistem perlindungan kilat yang menepati piawaian sehingga berlaku kerosakan disebabkan panahan kilat terhadap sesebuah bangunan.

Pengarah Pusat Kecemerlangan Perlindungan Kilat (CELP) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Mohd Zainal Abidin Ab Kadir, berkata kadar panahan kilat yang tinggi dengan sebilangan besar bangunan tidak dilengkapi sistem panahan kilat yang menepati piawaian adalah satu igauan besar kepada negara.

Ini kerana katanya, bangunan termasuk peralatan elektronik terdedah kepada kerosakan dan boleh membawa kepada kecederaan atau kematian.

Beliau berkata, kadar kegagalan atau kerosakan disebabkan perlindungan bukan konvensional terbukti tinggi bukan saja di negara ini malah berlaku di negara lain seperti Indonesia, Singapura dan Sri Lanka yang rata-ratanya menerima kadar panahan kilat yang tinggi.

“Gangguan bekalan elektrik dan kerosakan peralatan elektronik akibat pancaran kilat terutama kepada sektor perindustrian menyebabkan kerugian ekonomi kepada negara. Penggunaan alat perlindungan kilat yang tidak menepati piawaian, boleh menyebabkan berlakunya risiko litar pintas yang membawa kepada gangguan bekalan elektrik atau kebakaran,” katanya.

Dr Mohd Zainal berkata, kebanyakan sistem perlindungan panahan kilat sedia ada, menunjukkan ia dipasang berdasarkan permintaan pemilik bangunan itu sendiri atau berdasarkan cadangan dibuat oleh pembekal yang tidak berasaskan kepada fakta seperti digariskan piawaian antarabangsa.

Mengikut piawaian antarabangsa, hanya sistem konvensional atau ‘Franklin System’ yang memenuhi kriteria ditetapkan untuk pemasangan sistem perlindungan kilat iaitu terdiri daripada komponen Rod Franklin, konduktor penghubung antara Rod Franklin dan terminal pembumian dan rod pembumian.

“Alat perlindungan pusuan (Surge Protective Device) juga komponen penting bagi perlindungan dalaman seperti barang elektrik di dalam bangunan. Ini bertepatan dengan prosedur digariskan dalam piawaian oleh SIRIM (MS-IEC 62305) dan Suruhanjaya Elektroteknikal Antarabangsa (IEC).

“Sehingga kini sistem bukan konvensional menjadi isu besar di dalam konsep dan kaedah perlindungan kilat di serata dunia kerana kos pemasangannya mahal tetapi tidak mempunyai bukti teknikal dan saintifik untuk perlindungan kilat yang berkesan hingga ditentang keras oleh saintis di seluruh dunia,” katanya.

Dalam menyediakan sistem perlindungan kilat yang mengikut piawaian, kosnya bergantung kepada saiz bangunan, peralatan di dalam bangunan terbabit dan prosedur ini sudah dinyatakan dengan jelas di dalam piawaian yang dikeluarkan IEC.

No comments:

Post a Comment