KUALA LUMPUR 16 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keupayaan warga pendidik dalam menyedia dan menyampaikan pendidikan berkualiti merupakan tunjang utama dalam memastikan matlamat menjadikan Malaysia negara maju menjelang tahun 2020 tercapai.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, pendidik berperanan penting dalam pembentukan insan secara holistik melalui pembangunan daya inovasi dan kreativiti pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).
“Dengan ini, kita akan dapat menghasilkan modal insan yang berilmu, kreatif, inovatif dan berketerampilan serta berupaya untuk memacu ekonomi berteraskan pengetahuan dan mencipta kekayaan baru bagi negara.
“Usaha ini adalah sejajar dengan hasrat Perdana Menteri untuk melaksanakan Model Baru Ekonomi (MBE) dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi,” katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian pada majlis Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia bersama Perdana Menteri di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini hari ini.
Perhimpunan tersebut bertemakan ‘Guru Pemangkin 1Malaysia’.
Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran sentiasa berusaha menyediakan peluang P&P yang sama rata kepada semua termasuk kumpulan berkeperluan asas merangkumi Orang Asli dan kumpulan etnik di Sabah dan Sarawak.
Malah dalam menyediakan sistem pendidikan yang lebih dinamik dan memenuhi keperluan dan kehendak semasa, kementerian katanya, memperkenalkan dasar-dasar baru tanpa membelakangi dasar-dasar lain yang masih relevan dan sesuai.
Beliau berkata, dasar-dasar seperti Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), Dasar 1Murid 1Sukan, Transformasi Kurikulum serta Mengarusperdanakan Aliran Vokasional dan Teknikal merupakan langkah penambahbaikan dalam sistem pendidikan sedia ada.
“Semua dasar ini bertujuan untuk menghasilkan modal insan yang seimbang, holistik, mempunyai semangat patriotisme yang tinggi, sihat dan membentuk warganegara yang baik dan cemerlang,” katanya.
Justeru, beliau menyeru warga pendidik memainkan peranan masing-masing sebagai agen pelaksana dan agen perubahan demi mencapai dan merealisasikan hasrat kerajaan untuk membina negara bangsa sesuai dengan semangat 1Malaysia.
Muhyiddin berkata, cabaran utama yang dihadapi oleh pendidikan kebangsaan adalah untuk melahirkan warganegara berdaya tahan, dinamik, progresif, berilmu pengetahuan, kreatif, inovatif dan berdaya saing di peringkat global.
Menurutnya, pada masa yang sama, sistem pendidikan juga perlu menggandakan usaha untuk meningkatkan nilai-nilai akhlak mulia dan penyayang.
Oleh itu, kata beliau, Penilaian Kritikal terhadap proses-proses pendidikan yang sedang berjalan hendaklah dilakukan supaya sebarang penyesuaian adalah selaras dengan keutamaan serta keperluan masyrakat domestik dan global yang sentiasa berubah.
Oleh yang demikian, katanya, para pendidik perlulah mempunyai nilai-nilai kepimpinan yang tinggi, kekuatan minda yang profesional, ketangkasan daya fikir dan daya cipta, kemantapan idealisme yang harus dibangunkan untuk melahirkan persekitaran pendidikan yang cemerlang berlandaskan nilai dan etos ‘learning society’.
utusan malaysia