01 September 2010

Siswa berpolitik: Najib bersikap terbuka



PUTRAJAYA 28 Ogos - Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Perdana Menteri masih bersikap terbuka untuk membincang cadangan penglibatan mahasiswa dalam politik kepartian walaupun Kabinet telah membuat keputusan melarangnya sebelum ini.

Beliau berkata, ini kerana Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan suasana politik semasa yang mementingkan perbincangan idea-idea dan bukannya berteraskan siapa yang berkuasa.

''Pada mesyuarat MT UMNO semalam, Najib menyatakan walaupun Kabinet telah membuat keputusan melarang pelajar universiti berpolitik, namun beliau terbuka untuk membincangkannya.

''Saya melihat beliau jelas memahami realiti politik semasa yang meraikan perbincangan idea-idea dan juga dapat menyelami minda serta imaginasi belia terhadap politik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Cadangan itu ditimbulkan oleh beliau sendiri pada hujung bulan lalu tetapi beberapa hari lepas itu, Kabinet bersetuju melarang penuntut institusi pengajian tinggi awam terlibat dalam parti politik.

Pada mesyuarat MT UMNO itu, Saifuddin menjelaskan secara terperinci mengenai cadangan itu serta jawapan terhadap setiap alasan yang menentang cadangan tersebut.

Sehubungan itu, Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi memberitahu, sikap Najib tersebut amat signifikan dalam mematangkan demokrasi negara.

''Inilah corak kepemimpinan politik yang dinanti-nantikan oleh belia kita," katanya.
-utusan malaysia

No comments:

Post a Comment