15 June 2010

2,500 Tabika dalam tiga tahun




Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan membina 2,500 Tabika dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini bagi meningkatkan kemasukan kanak-kanak berusia lima dan enam tahun ke sekolah.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kementerian itu menerima dana hampir RM500 juta menerusi Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) untuk tujuan berkenaan.Beliau berkata, peruntukan RM98 juta sudah diterima untuk mewujudkan 500 Tabika tahun ini.

“Bakinya sebanyak RM200 juta untuk membina 1,000 Tabika pada tahun depan dan jumlah yang sama pada 2012,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Kebangsaan 2010 di Behrang, dekat sini, semalam.

Mohd Shafie berkata, kebanyakan Tabika baru berkenaan akan dibina di luar bandar dan pinggir bandar, terutama di kawasan yang belum ada tadika swasta dan prasekolah di sekolah kebangsaan.

Katanya, kini ada 8,500 Tabika Kemas di seluruh negara dengan 190,000 kanak-kanak.

Beliau berkata, pembinaan 2,500 Tabika baru itu akan membuka kira-kira 5,000 peluang pekerjaan sebagai guru pendidikan awal kanak-kanak.
“Mereka yang berminat untuk memohon sebagai guru Tabika Kemas perlu mempunyai lima kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Guru akan diberi latihan untuk mendapat Diploma Perguruan Malaysia ,” katanya.

Mohd Shafie berkata, seramai 256 guru Tabika Kemas lulusan Diploma Perguruan Malaysia sudah dilantik ke Gred S27.

Katanya, seramai 257 lagi guru akan tamat diploma masing-masing hujung bulan ini.

Petikan Berita Harian 15/06/2010

2 comments:

  1. menurut Timbalan Perdana Menteri dlm utusan malaysia 26 jun 2010...

    Sehingga kini katanya, kelas prasekolah di bawah kementerian berjumlah 7,511 buah manakala sebanyak 8,525 lagi di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) 1,643 kelas dan pihak swasta berdaftar 6,412 kelas.

    ''Sehingga 31 Mei lalu, kadar penyertaan kanak-kanak dalam prasekolah mencapai 70.4 peratus dan ini amat membanggakan. Saya yakin sasaran yang ditetapkan pasti tercapai dengan komitmen semua pihak," katanya.

    ReplyDelete
  2. Pendidikan prasekolah perlu alami anjakan

    Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, pendidikan prasekolah perlu mengalami anjakan agar ia berupaya menjadi pemangkin memenuhi perkembangan kanak-kanak, bangsa dan keperluan negara.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, pendidikan prasekolah perlu bersifat futuristik seiring dengan aspirasi negara untuk membina masyarakat madani.

    "Masyarakat madani ini perlu berpegang kepada teras keimanan, mempunyai ketahanan diri, memiliki identiti bangsa Malaysia, berpandangan jauh, citra diri yang tinggi dan berdisplin.

    ''Masyarakat ini juga perlu mengamalkan cara hidup yang cemerlang seiring dengan penghayatan semangat 1Malaysia,'' katanya.

    Timbalan Perdana Menteri memberitahu, hakikat ini dapat diterjemahkan melalui sistem pendidikan prasekolah yang bersifat holistik, tidak terlalu akademik dan sentiasa mendepani keperluan perkembangan kanak-kanak prasekolah.

    Sehubungan itu katanya, guru-guru prasekolah perlu dilatih supaya dapat menyediakan peluang pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna seta tidak membosankan kepada kanak-kanak.

    sumber utusan malaysia
    2 julai 2010

    ReplyDelete