13 July 2010

Syor ajar subjek teknikal bermula Tingkatan Satu


MARAN: Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) mencadangkan supaya mata pelajaran teknik dan vokasional diajar bermula Tingkatan Satu bagi meningkatkan kemahiran modal insan serta keperluan tenaga pekerja mahir negara.

Presidennya, Mohd Sabri Mohd Arshad, berkata cadangan itu sebagai persediaan mengurangkan pergantungan ke atas tenaga kerja asing dari Indonesia, Bangladesh dan Myanmar.
Katanya, ketika ini, pelajar hanya berpeluang belajar mata pelajaran teknik dan vokasional selepas menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
"Ramai lepasan Tahun Enam yang berminat mempelajari mata pelajaran teknikal dan vokasional seperti bidang automotif, pertukangan rumah dan elektronik dan elektrikal.

"Mereka ini seharusnya diberikan peluang dengan memasuki ke sekolah aliran teknik dan vokasional lebih awal sekali gus dapat melengkapkan ilmu pengetahuan dan memantapkan kemahiran diri," katanya ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan KGMMB di Sekolah Menengah Chedong Jaya, dekat sini, kelmarin.

Beliau berkata, kerajaan wajar mengkaji untuk memberi peluang pelajar Tingkatan Satu belajar di sekolah teknik dan vokasional supaya masalah mendapatkan bekalan kerja mahir tidak timbul pada masa depan.

"Kita yakin inilah cara terbaik untuk membantu negara melatih tenaga kerja mahir dalam pelbagai bidang teknikal dan vokasional supaya tidak bergantung sepenuh dengan tenaga buruh asing," katanya.
Seorang bapa, Rahman Saari, 48, berkata, saranan mewujudkan sekolah teknik dan vokasional bermula Tingkatan Satu amat sesuai dilaksanakan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja negara.

Katanya, kerajaan perlu mengambil langkah awal untuk memperlengkapkan pelajar supaya lebih berkemahiran.

"Negara mempunyai masa kira-kira 10 tahun untuk mencapai Wawasan 2020 dan saranan ini sesuai dilaksanakan sebagai persediaan memenuhi permintaan tenaga kerja,” katanya.

Razali Musa, 38, berkata, kerajaan perlu mencontohi negara maju yang memperkasakan pendidikan teknik dan vokasional supaya tidak terlalu bergantung kepada tenaga buruh asing.

Katanya, kerajaan perlu membina asas yang kukuh supaya kemajuan negara dibangunkan oleh rakyat dengan tenaga pakar yang terlatih.

Berita Harian

18 universiti terima penarafan cemerlang




Tujuh lagi institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan 11 IPT swasta di negara ini menerima pengiktirafan cemerlang atau Tier Lima menerusi Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (SETARA) yang dikendalikan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Bagaimanapun, masih tiada IPT mencapai Tahap Terbilang atau Tier Enam, iaitu peringkat paling baik, kerana tidak menepati kriteria ditetapkan MQA.
Penarafan itu dilakukan setiap dua tahun bermula 2007, bagi mengukur kedudukan IPT awam dan swasta dalam usaha kerajaan meningkatkan taraf institusi pendidikan tinggi negara ke peringkat antarabangsa.

Mengumumkan keputusan SETARA 2009 di sini, semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata tahun lalu penarafan itu diperluaskan ke semua 58 universiti dan kolej universiti di seluruh negara, berbanding 20 IPT pada 2007.

Pada 2007, hanya Universiti Malaya (UM) menerima Tahap Cemerlang dan UM mengekalkan kedudukan itu pada SETARA 2009.

Pada 2009 juga 11 IPT awam dan 14 IPT swasta menduduki Tier Keempat, iaitu Tahap Sangat Baik, manakala empat IPT menduduki Tier Tiga atau Tahap Baik. Tiada IPT disenaraikan pada kedudukan Tier Dua (Memuaskan) dan Tier Satu (Lemah).
Mohamed Khaled berkata, 11 IPT pula tidak dapat diberi penarafan kerana pelbagai faktor termasuk baru ditubuhkan, tidak menawarkan program ijazah pertama, tiada pelajar tahun akhir atau belum menghasilkan graduan dan universiti bukan konvensional seperti universiti terbuka yang mungkin memerlukan instrumen tersendiri.

Beliau berharap lebih banyak IPT menyertai penarafan itu dan memecahkan tradisi untuk mencapai Tahap Terbilang pada SETARA 2011.

Mohamed Khaled berkata, penarafan SETARA 2009 memberi fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran pada peringkat ijazah pertama yang dijalankan universiti dan kolej universiti terbabit.

"Pembangunan instrumen itu membabitkan pembandingan dengan amalan Higher Education Funding Council of England (HEFCE) dan kajian Teaching & Learning Quality Indicators in Australia Universities oleh Denise Chalmers (2008) serta rakan negara ASEAN lain, iaitu tiga universiti di Indonesia dan 31 universiti di Thailand," katanya.

Beliau berkata, program kali ini juga membabitkan proses pengesahan oleh Jawatankuasa Verifikasi dipengerusikan seorang bekas hakim Mahkamah Tinggi dan dianggotai dua tokoh akademik serta perundangan yang meneliti instrumen kajian dan proses penarafan yang digunakan serta kesahihan data dikemukakan IPT.

Katanya, IPT awam yang mencapai tahap cemerlang akan menikmati banyak manfaat termasuk tajaan kerajaan bagi pengambilan pelajar dalam dan luar negara, boleh memohon dan menerima geran penyelidikan dan layak mendapatkan status universiti penyelidikan serta menambah program pelajar pra dan pasca siswazah.

IPT swasta pula diberi kelonggaran dan pengecualian dalam beberapa perkara, termasuk permohonan permit mengajar, kelulusan menetapkan gaji pensyarah antarabangsa dan dibenarkan mengambil pelajar antarabangsa secara automatik, manakala IPT Terbilang mendapat tambahan keistimewaan autonomi untuk melaksanakan program pengajian tanpa perlu melalui MQA.

Berita Harian

04 July 2010

Rahsia SMK Pasir Panjang menjuarai pertandingan 3K




SEREMBAN - Pelbagai teori pengurusan semasa yang diterapkan sebagai cara kerja seharian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Panjang, Negeri Sembilan, berjaya mengharumkan nama sekolah apabila muncul johan pertandingan kebersihan, kesihatan dan keselamatan (3K) peringkat kebangsaan kategori sekolah menengah bagi tahun 2009.

Antara teori pengurusan yang diamalkan di sekolah itu ialah Blue Ocean Strategy dan permuafakatan organisasi (CO), yang dipantau sendiri oleh pengetua sekolah.

Kata Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Yeow Bee Lin, pelbagai amalan dan pendekatan pengurusan berjaya menyatukan hati seluruh warga guru dan masyarakat setempat untuk bersama-sama memajukan sekolah berkenaan.

Dalam teori pengurusan Blue Ocean Strategy semua guru diberi kebebasan menyuarakan pendapat dan tiada budaya cantas mencantas dalam kalangan warganya, manakala di bawah CO, semua warga SMK Sekolah Pasir Panjang dan masyarakat setempat bekerjasama menjalankan aktiviti berkaitan program 3K.

SMK Pasir Panjang ialah sekolah berstatus luar bandar, dengan jumlah enrolmen pelajar 605 orang dan bilangan guru 50 orang.

Latar belakang ekonomi ibu bapa di situ adalah rendah dan sederhana, dengan 80 peratus bekerja di hotel dan pusat peranginan sebagai pembantu am atau sebagainya.

Yeow menambah, permuafakatan setempat dizahirkan dengan penubuhan jawatankuasa induk 3K, yang keahliannya meliputi warga guru, beberapa agensi luar dan tujuh jawatankuasa kerja kampung (JKK).

Konsep CO berlangsung dalam beberapa bentuk aktiviti seperti gotong royong, kayuhan merdeka (berbasikal), khatam al-quran, bergotong royong membuat kuih tradisional pelbagai kaum dan sebagainya. Konsep itu dizahirkan melalui ungkapan budaya disemai di sekolah, disuburkan di rumah, diperkukuhkan dalam masyarakat.

``Bila setiap kali bermesyuarat, kita sebarkan sebarang maklumat tentang aktiviti 3K,’’ kata Yeow.

Sekolah itu mula dilibatkan dengan aktiviti 3K peringkat daerah pada 2007 dan muncul juara, sebelum ke peringkat negeri, pada tahun berikutnya.

Yeow menambah kata, program 3K ternyata telah meningkatkan pencapaian keputusan peperiksaan di sekolah berkenaan, selain meningkatkan sahsiah pelajarnya.

Bukan setakat itu sahaja, sesuai dengan keperluan pertandingan 3K itu sendiri, pihak sekolah mengadakan program diet khas yang dipanggil fit and trim bagi mendapatkan berat badan unggul (BMI) dalam kalangan pelajarnya.

sumber
http://www.tutor.com.my/dunia.asp?y=2010&dt=0629&pub=DuniaPendidikan&sec=Berita&pg=be_01.htm

Empat inisiatif tingkat sistem pendidikan




Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menggariskan empat inisiatif utama yang perlu dilaksanakan dalam usaha meningkatkan keberkesanan sistem pendidikan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, empat inisiatif itu meliputi kajian semula sistem persekolahan, menstruktur semula kementerian dan tadbir urus, meningkatkan kualiti guru dan kepemimpinan sekolah.

''Dalam hubungan ini, sebagai individu yang bertanggungjawab untuk memastikan semua usaha yang dilaksanakan berjalan lancar, maka saya amat mengharapkan komitmen yang tinggi daripada semua warga kementerian dalam menjayakan perancangan pembangunan pendidikan ini.

''Ia juga selaras dengan Gagasan 1Malaysia yang menuntut penjawat awam supaya sentiasa menghasilkan idea kreatif, inovatif dan meningkatkan penggunaan teknologi maklumat bagi memantapkan sistem penyampaian kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2009 Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong dan Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Pada majlis itu, seramai 424 orang warga Kementerian Pelajaran di sini menerima APC masing-masing.

Sehubungan itu, Muhyiddin memberitahu, semua pemimpin kementerian perlu mengaplikasikan budaya pemikiran terbuka serta dinamik dan mengamalkan syura atau bermesyuarat.

Ini kerana, beliau menambah, selaku pemimpin, mereka harus bersedia mendengar dan menerima pandangan orang sekeliling selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip atau matlamat yang ingin dicapai demi kebaikan bersama.

''Selain itu, pengamalan Budaya Kerja Cemerlang di kalangan penjawat awam penting bagi memastikan perubahan yang ingin dilakukan mampu memberi impak positif di kalangan rakan sejawat atau orang bawahan,'' katanya.

sumber utusan malaysia
2 julai 2010